Laman Utama
Wohoo! Selepas 10 Tahun, Zizan Kembali Dalam Hantu Bonceng 2.0
Pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak kini kembali dengan filem terbaharu berjudul Hantu Bonceng 2.0 selepas sedekad filem Hantu Bonceng menjadi filem pecah panggung dengan kutipan pawagam melebih RM8.5 juta.
Masih mengekalkan genre seram komedi, Hantu Bonceng 2.0 tampil dengan jalan cerita yang lebih segar, mutu produksi yang lebih tinggi, barisan pelakon berbakat serta pengarah serba boleh iaitu Datuk Yusry Abd Halim.
Menurut Penerbit Eksekutif Hantu Bonceng 2.0, Datuk Azlan Shah Jaffril, filem terdahulu telah meraih sambutan hangat di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Meskipun telah 10 tahun ditayangkan, namun jenama Hantu Bonceng masih segar dalam kalangan peminat filem tanah air dan kesinambungannya sering dinantikan oleh penonton. Jalan ceritanya juga masih relevan sehingga kini.
“Rentetan daripada itu, kami pihak penerbit merasakan kini adalah masa yang tepat untuk hasilkan Hantu Bonceng 2.0 dan yakin Astro First adalah platform yang tepat untuk menayangkan filem ini.
“Dengan kemampuan Astro dalam memasarkan filem, kami percaya filem ini dapat dibawa secara menyeluruh kepada penonton sasaran.
“Harapan kami agar kehadiran filem ini mampu mengembalikan fenomena filem seram komedi permotoran motosikal yang pernah mengusai industri filem tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem Hantu Bonceng sebelum ini juga berjaya mencipta fenomena dalam industri layar perak pada tahun 2011.
“Kami percaya ramai yang teruja apabila filem pecah panggung tersebut bakal kembali menerusi sekuel terbarunya.
“Memahami penonton yang sering menginginkan konten baru dan menarik, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk bawakan filem Hantu Bonceng 2.0 terus ke pawagam rumah anda, Astro First.
“Mengenai filem tersebut, tidak dinafikan ia mempunyai kekuatan tersendiri. Jika kita lihat industri filem tempatan khususnya filem Melayu lebih cenderung kepada genre seram, komedi dan aksi.
“Begitu juga dengan filem-filem di Astro First dan buktinya dengan kejayaan filem komedi Mael Totey The Movie (lebih RM6.4 juta), filem komedi seram Syif Malam Raya (lebih RM3 juta), filem komedi Manap Karaoke (lebih Rm1 juta).
“Bagi filem Hantu Bonceng 2.0 pula, ia bukan sahaja mengangkat dua genre popular iaitu seram dan komedi, malah dipadatkan lagi dengan gabungan sub-genre aksi permotoran motosikal yang mana sering menarik perhatian kaki wayang,” jelasnya.
Selain Zizan, pelakon lain yang membintangi Hantu Bonceng 2.0 antaranya Taiyuddin Bakar, Shiha Zikir, Joey Daud, Atu Zero, Chew Kin Wah, Acong Sweetchild, Sharif Zero, Amir Raja Lawak, Soya, Erryn Abdullah, Rashdan Baba dan Sangeeta Krishnasamy.
Filem ini turut menyelitkan lagu AEWO nyanyian Shiha Zikir bersama Noki sebagai lagu tema utama filem.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer oleh Ezra Kong dan lirik oleh Ezra Kong bersama Noki.
Saksikan Hantu Bonceng 2.0 di pawagam rumah anda bermula 11 Februari 2021, di Astro First.
Untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim Hantu Bonceng 2.0 di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.