Filem komedi aksi penyiasatan Mat Bond Malaya terus menggungguli carta filem terbaik Astro First selepas dua minggu ditayangkan.

Masih berada di tangga pertama, Mat Bond Malaya mengetepikan Jagame Thandhiram yang kini di tangga kedua dan diikuti Araf 3: Book of Jinn.

Manakala filem Jangan Takut, Kau Takut Aku Pun Takut dan Paramapatham masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.

A post shared by Astro First (@astrofirst.official)


Mat Bond Malaya merupakan filem arahan sulung pelawak dan pengacara terkenal Nabil Ahmad.

Filem itu turut dibarisi Naqiu, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar dan ramai lagi.

Lebih unik, Mat Bond Malaya menampilkan ramai cameo antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk Ramli MS, Syafiq Kyle, Ning Baizura dan Datuk Seri Aliff Syukri.

Mat Bond Malaya mengisahkan seorang jejaka bernama Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’ sahaja.

Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi, namun tidak berjaya.

Disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombi.

Mat tiada pilihan melainkan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

Mat Bond Malaya mula ditayangkan menerusi Astro First saluran 480 pada 20 Julai lalu.