Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

World Class! JDT ‘Lamar’ Snoop Dogg Untuk Hasilkan Lagu Tema Rasmi? Next Level Wey!

Hanafis Haris
17/03/2022 17:29 MYT

Next Level! Itu gambaran paling tepat terhadap kelab bola sepak yang juga Juara Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengumumkan kerjasama strategik dengan Universal Music Asia Tenggara (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA bagi penerbitan lagu tema rasmi 2022 JDTFC berjudul ’Pioneers’.

Apa yang mengagumkan, lagu ini dicipta dan dipersembahkan oleh ikon hip-hop global Snoop Dogg dan Joe Flizzow yang merupakan penyanyi rap paling popular di Malaysia merangkap Presiden, Def Jam Recordings SEA.

Penghasilan lagu tema ini sekali gus memperluaskan strategi penjenamaan global JDTFC melalui kerjasama UM SEA.

Bersempena dengan itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDTFC berkenan menandatangani perjanjian pengedaran yang disertai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim di Stadium Sultan Ibrahim.

Majlis berlangsung secara eksklusif itu sekali gus melakarkan satu lagi tonggak bersejarah dalam perjalanan JDTFC dalam menjadi pasukan bolasepak yang diiktiraf global dengan peningkatan di kalangan peminat antarabangsa.

Tunku Ismail bertitah, Universal Music Group merupakan syarikat muzik terbesar di dunia telah membentuk industri hiburan bagi hampir 100 tahun dan kaya dengan sejarah artis yang memenangi pelbagai anugerah
dan penghasilan muzik hebat.

“Mempunyai legenda hip hop yang luar biasa seperti Snoop Dogg untuk menyanyikan lagu tema rasmi JDT 2022 bersama artis kelahiran Johor, Joe Flizzow sememangnya satu kerjasama yang menakjubkan.

“Kami berharap Pioneers akan menandakan permulaan bagi lebih banyak kerjasama antara JDT dan Universal Music pada masa akan datang,” titahnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group, Asia Tenggara & Naib President Kanan Asia Calvin Wong berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim untuk inisiatif ’groundbreaking’.

“Pengalaman dan kreativiti pasukan Universal Music SEA dan Def Jam Recordings SEA artis dan eksekutif akan membantu mengembangkan legasi JDTFC dan impak budaya artis kami, bukan sahaja di Malaysia dan Asia Tenggara, tetapi di seluruh dunia.

“Kami amat berbangga dapat memainkan peranan dalam salah satu strategi penjenamaan global JDTFC dan berharap artis kami dapat menyatukan Peminat JDTFC di seluruh dunia melalui muzik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim, kolaborasi artis memainkan peranan terbesar yang memacu muzik dan jenama hari ini.

“Keunikan kerjasama dengan JDTFC adalah dimana pihak kami dapat memberi peluang kepada artis tempatan dan jenama tempatan yang semakin meningkat dengan bintang antarabangsa seperti Snoop Dogg.

“Saya percaya dengan kerjasama ini dapat membuka dunia baru bagi bunyi, gaya dan peluang baru antara Universal Music Malaysia dan JDTFC pada musim akan datang,” katanya.

Untuk rekod, video muzik Pioneers telah dilancarkan di kesemua akaun Media Sosial Rasmi JDT & saluran YouTube JDT TV.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.johorsoutherntigers.my dan langgan media sosial JDT akaun.

Sekadar info, lagu Pioneers nyanyian Snoop Dogg dan Joe Flizzow, diterbitkan oleh SonaOne dimana lirik lagu diilhamkan daripada kesungguhan dan kegigihan JDTFC dalam menetapkan standard baru bola sepak di Malaysia serta kejayaan yang dicapai sejak 2013.

Rakaman vokal dirakamkan di Los Angeles dan Kuala Lumpur manakala proses susunan lagu dan adunan muzik dilakukan di Los Angeles.

View this post on Instagram

A post shared by snoopdogg (@snoopdogg)

#Joe Flizzow #TMJ #JDT #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Snoop Dogg #JDTFC #Pioneers
;