Benarlah kata orang, kalau sudah rezeki pasti tidak ke mana.

Bayangkan dengan hanya tempoh 5 minit melontarkan suaranya, penyanyi baru Fai Ramli, 27 sudah berjaya menarik perhatian Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim.

Bukan saja itu Norman turut menawarkan kontrak rakaman kepada Fai dan hasilnya, sebuah lagu bertajuk Cintamu Kekuatanku berjaya dihasilkan.

Malah, percubaan pertama Faiz menjejakkan kaki dalam industri muzik telah menunjukkan hasil positif apabila video muzik single tersebut turut dilancarkan pada 27 Julai lalu.

Difahamkan Cintamu Kekuatanku menceritakan tentang erti percintaan sebenar yang menjadi pemangkin atau kekuatan dalam sesebuah perhubungan.

Menurut Norman, lagu ini juga berjaya menonjolkan kelainan dan keunikan suara Fai Ramli.

“Lagu ini sememangnya dicipta khas untuk Fai bersesuaian dengan ‘vocal range’ dia.

“Dengan bakat yang ada, saya berharap Fai akan berjaya menempa nama dipersada industri muzik tanahair sebaris dengan penyanyi- penyanyi hebat tanah air,” katanya.

Lagu Cintamu Kekuatanku boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian.