Pelakon popular antarabangsa, Jackie Chan menawarkan ganjaran 1 juta yuan (RM587,709) kepada pihak yang berjaya menghasilkan penawar wabak koronavirus.

Jackie mendedahkan tawaran itu menerusi aplikasi Weibo pada Selasa lalu.

“Sains dan teknologi adalah kunci utama untuk mengekang gejala berkenaan. Saya percaya semua orang pun beranggapan begitu.

“Tidak kira mana-mana individu atau organisasi yang berjaya menghasilkan penawar koronavirus, saya mahu berterima kasih kepada mereka dengan jumlah 1 juta yuan,” katanya.



Pelakon filem Vanguard bagaimanapun berharap agar orang ramai tidak salah anggap atas niatnya itu.

"Ini bukan soal duit. Saya tidak mahu lagi melihat jalan-jalan yang semakin sepi dan rakan-rakan senegara saya berperang dengan virus itu sehingga ada yang sudah terkorban sedangkan mereka patut menikmati kehidupan,” jelasnya lagi.

Status Chan menerima lebih 53,000 tanda suka selain mendapat maklum balas positif daripada netizen.

Ada juga dalam kalangan netizen yang mencadangkan agar ganjaran itu dinaikkan kepada 10 juta yuan.

Untuk rekod, sehingga Rabu, koronavirus telah dilaporkan berjangkit kepada hampir 25,000 individu di 28 buah negara dengan jumlah kematian mencecah 500 orang.



Sumber: Astro Awani