Belum reda kehangatan lagu Yung Raja berjudul The Dance Song dengan hampir sejuta tontonan di Youtube kurang sebulan yang lalu, kini, single terbaru penyanyi rap Singapura itu menjadi sebutan sekali lagi apabila dipersembahkan dalam bentuk tarian tradisional Malaysia pula.

Video The Dance Song (Malaysian Traditional Dance Version) berdurasi selama tiga minit itu memaparkan persembahan tarian tradisional yang cukup memukau daripada penari-penari pelbagai latar belakang dengan melodi rancak.

Meskipun lagu The Dance Song diadun dengan rap Inggeris dan Tamil, penari-penari dalam video ini mempersembahkan gerakan tari yang cukup indah dan bertenaga tanpa rasa kekok dengan aneka tarian tradisi Malaysia seperti Zapin Melayu, Tarian Kipas Cina dan Bharatha Natyam India.

Tak mustahil rentak muzik trap dengan lantunan rap bersahaja Yung Raja menjadikan kareografi tradisional Malaysia senada, lebih-lebih lagi dipersembahkan artis tari profesional tanah air antaranya Alam Wakaka (Muhammad Haslam Abdul Rahman), Izzazly Fikry Kamri dan Kalaiasan Sivalingam yang mempersembahkan tarian Zapin Melayu.

Bagi tarian tradisional kipas dan sapu tangan Cina pula ditarikan oleh pasangan
Wong Chi Yin dan Douglas Philip Labadin. Lenggok tarian tradisi India yang cukup mengasyikkan pula ditarikan oleh artis tari Nadiah Rahmat, mendapat khidmat koreografer popular Mohd Nurul Azmie Zanal Abdden.

Menurut Yung Raja, lagu The Dance Song ini merupakan karya seninya yang ketiga dan terbesar setakat ini.

"Ini adalah karya seni saya ketiga dan yang terbesar. Baik penggunaan bahasa atau rima lagu itu sendiri, The Dance Song merupakan karya saya paling unik yang belum pernah saya sajikan sebelum ini.

"Sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Tamil, mesej dalam setiap baris mudah difahami. Setiap baris rap mengandungi elemen lucu dan sudah pastinya daya penarik yang ada pada
diri saya,” jelasnya.

Single terbaru Yung Raja ‘The Dance Song’ mendapat sentuhan penerbit terkenal Singapura, Flightsch diadun dengan melodi cukup sempurna apabila kekemasan susunan muzik serta irama hiphop moden trap digarap dengan bunyian yang mengasyikkan.

Video The Dance Song (Traditional Malaysian Dance Version) boleh ditonton menerusi akaun Youtube Universal Music Malaysia bermula 16 November 2020.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!