Penyanyi rap Ben Ladin telah membuat kejutan dengan tampil secara mengejut di sebuah persembahan ukulele ketika majlis pelancaran minggu kokurikulum diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota, Felda Bukit Aping Timur, Johor pada pagi tadi.

Kumpulan pelajar yang membuat persembahan ukulele di sekolah ini mulai viral di media sosial sejak minggu lepas menerusi sebuah video menyanyikan lagu cover Hikayat Benladin.

Setelah melihat video tersebut, pihak Sony Music Malaysia dan Ben Ladin telah menghubungi pihak sekolah terbabit dan membuat keputusan untuk tampil membuat kejutan kepada semua pelajar.

"Saya amat berpuas kerana 'surprise' yang dirancang ini telah berjaya dilakukan dengan baik dan lancar.

"Semua pelajar di majlis itu tidak tahu saya akan muncul ketika kumpulan ukulele tersebut sedang membuat persembahan.

"Saya juga berasa gembira terhadap penerimaan yang diberikan oleh para pelajar dan pihak guru di sekolah ini, mereka semua sangat 'happening'!", kata Ben kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Ben sedang sibuk memenuhi undangan persembahan dan mempromosikan single Hikayat Benladin di seluruh Malaysia.