Hari ini filem 10 Tips Tipu Bini, terbitan pertama Datuk Awie bersama Rumah Produksi Merah membuka tirainya di Astro First (saluran 480).

Filem komedi berdurasi 104 minit ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ropie, Khir Rahman, Joey Daud, Elizabeth Tan, Vicha, Naziah Mustafar, Azlee Senario, Jehan Miskin dan Datuk Awie sendiri sebagai penghidup jalan cerita.

Menerusi pemerhatian Gempak di laman sosial YouTube Astro Shaw, rata-rata warganet menyatakan rasa teruja untuk menonton filem 10 Tips Tipu Bini ini.

Kebanyakan yang meninggalkan komen, terhibur dengan trailer dan mengucapkan tahniah kepada Datuk Awie di atas penghasilan filem pertama beliau ini.

“Tengok trailer pun 70% best dan jika di pawagam mesti best giler dengan sound systems dan view yang cukup luas. Tahniah Dato Awie atas karya dan penghasilan pertama yang pasti akan menghiburkan.”

Tulis salah seorang penonton trailer yang memuji sinematografi dan kesan bunyi di dalam filem 10 Tips Tipu Bini.


Filem ini mengisahkan tentang tiga sahabat baik Raff (Ropie), Kay (Khir Rahman) dan Jepp (Joey) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di syarikat pengiklanan Grand Poyo Advertising & Events kepunyaan Dato’ Dean (Azlee Senario) di Kuala Lumpur.

Raff, Kay dan Jepp hebat di tempat kerja tetapi sebaliknya di rumah kerana takut dengan isteri masing-masing.

Mereka juga mempunyai kelab motor berkuasa tinggi Harley Davidson diberi nama Dubuk Liar. Raff, Kay dan Jepp selalu mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu tapi ‘takut-takut’.

Sehinggalah tiga orang gadis pelatih muncul di syarikat dan bekerja bersama mereka dan para suami yang mengalami masalah ‘krisis pertengahan umur’ ini mula memasang niat nakal untuk memikat tiga gadis tersebut.

Jadi bermulalah penipuan terhadap isteri masing-masing kerana mahu mendekati gadis-gadis muda iaitu Anna(Elizabeth Tan), Eisya (Amy Nur Tinie dan Sara (Monica Picca).

Nak tengok gelagat Raff, Kay dan Jepp menipu isteri mereka Aishah (Vicha), Khatijah (Ziema Din) dan Jas (Nazia Mustafar) nantikan 10 Tips Tipu Bini yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First (saluran 480) mulai hari ini 7 Januari.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton filem ini seisi keluarga secara berulang-ulang dalam tempoh 48 jam!