Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Wujud Petisyen Minta Siti Nurhaliza Bertanding Semula Di AJL 34? Ini Penjelasan Empunya Badan!

Hanafis Haris 08/07/2019 | 10:14 MYT
Siapakah gerangan penyanyi yang akan menyampaikan lagu Anta Permana seandainya lagu itu berjaya menembusi Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 tahun hadapan masih lagi menjadi tanda tanya.

Jika sebelum ini, penyanyi Ernie Zakri disebut-sebut menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun bayangan terbabit seakan tipis apabila Ernie turut memikul beban dengan lagu miliknya sendiri, Ku Bersuara.

Enggan melatah dengan situasi terbabit, tuan empunya diri, Siti yakin setiap perkara pasti ada jalan penyelesaiannya.

Menurut Siti, Hael Husaini yang juga komposer lagu terbabit ada berhubung dengannya menerusi WhatsApp dan pernah beberapa kali memujuk dirinya untuk kembali beraksi di AJL.

“Hael ada WhatsApp saya, katanya dia nak buat petisyen untuk saya nyanyi lagu Anta Permana.

“Saya tahu dia cuba pujuk saya sekali lagi jika ada luck.

"Malah saya tahu dia saja nak mengusik saya, tapi setakat ini masih tiada kata putus,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Universal Music baru-baru ini.

Ditanya sekiranya wujud petisyen dengan jumlah skala yang besar mahukan dia menyanyikan Anta Permana di AJL 34, Siti berkata dia tidak mahu memperbesarkan isu terbabit.

“Saya tidak mahu besarkan isu ini sebab saya dah buat keputusan pun sebelum ini. Saya serahkan kepada Hael untuk mencari penyanyi terbaik untuk menyanyikan lagu dia.

“Saya sedia membantu untuk memberi nasihat, cadangan dan idea.

“Apapun doakanlah yang terbaik, mana tahu saya terbuka hati balik,” katanya.

Sekadar info, kali terakhir Siti beraksi di pentas AJL adalah pada 2007 mendendangkan lagu Destinasi Cinta.

#Siti Nurhaliza #AJL #Tokti
;