Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Namun itulah yang terpaksa dihadapi ayah dan isteri kepada bayi perempuan menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, apabila terpaksa menyambut Aidilfitri di London.

Suasana sambutan raya mereka sekeluarga di hospital telah dimuat naik di Facebook bapa Ainul, Ahmad Safiuddin pada raya kedua, khamis lalu.

Malah, video memaparkan Ainul sedang dipakaikan baju kurung yang dimuat naik pada hari sama turut mengundang sebak netizen.

"Hari ni berpeluang pakaikan ainul baju kurung," katanya.

Anda boleh lihat video terbabit di bawah.

Menjelaskan perkembangan terkini anaknya, Ahmad Safiuddin berkata, Ainul akan tetap dibedah, namun buat masa ini doktor mahu Ainul besar dan kuat sebelum menghadapi proses pembedahan.

"MRI pun dah buat, doktor doktor pakar pun telah berbincang dan setelah mereka teliti keadaan ainul dan bincang kaedahnya, mereka sebulat suara menjawab, YA, Ainul akan dibedah.
.
"Cuma sekarang, mereka mahu Ainul betul betul ready sebelum menjalani pembedahan secara besar besaran kerana masa pembedahan yang agak panjang.

"Kami yakin dengan Allah, ketika di dewan bedah itu nanti, akan penuh dengan malaikat yang menjaga ainul dan Allah akan berikan ilham kepada dr yang merawatnya," katanya.

Menurutnya, dia memohon semua rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik buat puteri sulung mereka.

"Mudah-mudahan berlakunya keajaiban Tuhan. Dan mudah-mudahan Ainul selamat dari pembedahan tanpa ada sebarang komplikasi," katanya.

Terdahulu Ainul selamat tiba di London 26 Mei lalu untuk menjalani pembedahan dan rawatan.