“Ya Allah Cantiknya, Ni Baru Lalat Tak Masuk” - Tudung Saji Hasil Tangan OKU Ini Tarik Perhatian Netizen
31/05/2021 11:13 MYT
Cantik dan unik! Itu antara pujian orang ramai selepas melihat tudung saji hasil tangan seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tampil dengan pelbagai corak, tudung saji ini disalut dengan satu lapisan kain yang menjadikannya lebih tebal.
Malah, ada beberapa corak berwarna emas seakan menggambarkan kubah masjid.
Difahamkan, gambar berkenaan viral di media sosial selepas ia dimuat naik oleh seorang lelaki dikenali sebagai Husin Yakub di Facebook.
“Anak OKU tak dapat berniaga semenjak PKP. Dah siapkan tempahan, sesiapa yang berminat boleh order,” katanya.
Susulan itu, posting berkenaan kemudian telah dibanjiri dengan komen netizen yang memuji kecantikan tudung saji tersebut.
Malah, ramai yang bertanya sama ada ia boleh dihantar secara kurier mahupun tidak.
Walau bagaimanapun, menerusi posting terbaru individu tersebut, tempahan telah pun ditutup memandangkan stok telah laris dijual.
“Dah habis, semuanya dijual. Nak buat baru pun tak boleh bahannya tak dapat nak beli, PKP,” katanya.
Jika berminat dan ingin membantu OKU tersebut, anda boleh lihat posting di bawah.