Media sosial sejak semalam telah dipenuhi dengan rasa kecewa netizen apabila berlakunya kes kecurian motosikal membabitkan seorang penghantar makanan.

Kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki itu dikatakan hilang di sebuah pasar raya di Batu Caves, Selangor.

Malah, gambar memaparkan wanita tersebut yang terduduk meratapi nasib malangnya kini viral di media sosial.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 3 petang ketika wanita tersebut mengambil makanan untuk dihantar.

Bagaimanapun, apabila kembali semula ke kawasan parkir, dia mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC itu hilang.

Rata-rata netizen berang dengan kejadian itu apatah lagi selepas melihat keadaan wanita tersebut yang kelihatan lemah sebaik mendapati motosikalnya dicuri.

Pada masa sama, tinjauan Gempak di Twitter juga mendapat ramai netizen kini sedang berganding bahu menyebarkan maklumat untuk mencari motosikal berkenaan.

Anda boleh lihat posting tersebut di bawah.

Sementara itu, menerusi Harian Metro, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya sedang mengesan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: Twitter, Harian Metro

Gambar : Twitter