Penyanyi Aishah yang sedang dirawat di Hospital Ampang akibat dijangkiti Covid-19 sejak Isnin lalu, berkongsi perkembangan terkininya di laman sosial Instagram (IG).

Menerusi hantaran tersebut Aishah meluahkan rasa bimbang selepas melihat pesakit lain dibawa untuk proses intubasi.

Aishah turut berkongsi mengenai paras oksigennya yang masih belum stabil dan turun mendadak sehingga 88 peratus, pagi tadi.

“Ya Allah mental tak kuat harini, bila melihat patient depan I dibawa naik untuk diintubate. Pagi tadi Oksigen level i 98 peratus.

“Mereka cuba nak buka oksigen tetapi bila ke tandas dan balik semula ke katil Oksigen level terus turun mendadak ke 88 peratus, terpaksa pakai oksigen semula baru naik semula ke 95 peratus,” luahnya.

Aishah turut memohon doa ramai supaya dirinya terus bertahan dan tidak sampai ke tahap intubasi.

“Ya Allah teman-teman tolong doakan I tak sampai ke situ (kena intubate). I takut, I masih banyak tanggungjawab pada family yang belum selesai, anak-anak I banyak lagi hal yang tak selesai.

“Sangat mengharapkan doa kawan-kawan…Ampunkan dosa-dosa I sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” tulisnya disertakan emoji menangis.

A post shared by Wan Aishah Wan Ariffin (@aishahjmm)


Semalam (Selasa), Aishah turut berkongsi perkembangan terkininya menerusi sebuah hantaran video.

Walaupun kelihatan agak lemah namun penyanyi Janji Manismu itu berkata dia berada dalam keadaan stabil.

Aishah berkata, paras oksigennya juga menunjukkan peningkatan sehingga 96 peratus dan sudah boleh ketawa.

“Alhamdulillah, baru ambil reading tadi oksigen level naik 96 peratus. Berkat doa kawan-kawan, peminat dan followers.

“Saya nampak comel dalam baju tidur Hospital Ampang ini, nasib baik buat pembedahan bariatric kalau tidak sure tak muat,” katanya berseloroh.

Aishah dimasukkan ke hospital selepas mengalami gejala demam panas dan semput pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Aishah pada hantaran sama turut memohon maaf kepada semua rakan-rakan dan sahabat media kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon dan membalas hantaran mesej kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Minta maaf kepada semua kerana saya tidak dapat membalas mesej dan menjawab panggilan telefon anda semua.

“Saya harap anda semua faham. Keadaan saya okay sekarang dan saya dah boleh ketawa,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, keadaan Aishah terlihat mengah dan bercakap dalam nada suara tersekat-sekat.

Di ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis kagum melihat semangat ditunjukkan Aishah serta mendoakan beliau terus diberikan kekuatan.

Terdahulu, Aishah mengesahkan hanya dirinya positif Covid-19 sementara keputusan ujian calitan suaminya negatif.

Dua anak lelakinya Armand Azhari, 28, dan Azhad Ahlami, 23, masih menunggu keputusan ujian calitan.