"Ya, Saya Memang Bercinta Dengan Hannah Delisha & Zahirah Macwilson" - Syafiq Kyle

Kamaruddin Razal
April 20, 2018 07:51 MYT
Pelakon kacak Syafiq Kyle, 26, mengakui bercinta dengan dua gandingannya dalam drama bersiri, Hannah Delisha dan Zahirah Macwilson.
Syafiq bergandingan dengan Hannah dalam siri Mencintaimu Mr Photographer dan berlakon disamping Zahirah dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu.
Drama yang pernah bersiaran di slot Megadrama Astro Ria ini mempunyai ramai penggemar kerana jalan cerita menarik yang ditampilkan.
"Ya, saya akui cinta antara kami memang wujud dan saya memang bercinta dengan mereka, tetapi hanya di set drama sahaja. Kami bercinta ketika menjayakan karakter yang ingin kami bawakam.
"Saya akui mudah untuk mendapatkan chemistry dengan Hannah dan Zahirah kerana mereka berdua sangat profesional. Selepas tamat penggambaran, kami bersahabat seperti biasa.
"Buat masa ini, saya lebih selesa berkawan dengan Hannah dan Zahirah serta saya juga tak kisah untuk bergandingan dengan mereka dalam projek lain," kata Syafiq.
Tambah pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini, dia juga menafikan khabar yang mendakwa dirinya sedang menjalin cinta dengan Hannah.
"Saya dan Hannah cuma teman biasa sahaja. Mungkin orang anggap kami menjalin hubungan cinta kerana kami bekerja dalam projek yang sama.
"Selepas drama Mencintaimu Mr. Photographer, saya berlakon filem Langsuir dengan Hannah dan turut menjayakan beberapa projek lain," katanya yang ditemui di majlis pelancaran tiga produk miliknya yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur malam tadi.
Syafiq melancarkan tiga produk bawah jenamanya iaitu laman sesawang rasmi www.syafiqkyle.com, produk kecantikan beuty mask yang diberi nama Kylez Lab dan koleksi pakaian kurta raya iaitu Kylez By Syafiq Kyle.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram
#Syafiq Kyle #Hannah Delisha #Zahirah Macwilson