Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ya, Saya Memang Marah! Cerita Benda Merepek” - Isu Sekolah, Naim Daniel Cadang Konten Podcast Perlu Dipantau

Mya Amri
25/01/2024 06:55 MYT
Pelakon, Naim Daniel menempelak kenyataan golongan selebriti dan pempengaruh yang dianggap dangkal.

Menurut Naim, mereka yang mempunyai pengaruh sepatutnya menggunakan ruangan podcast itu untuk menyalurkan informasi kepada pengikut dan bukannya mengeluarkan kenyataan merapu.

“Bagi saya kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita sampaikan. Saya rasa sepatutnya podcast ini sekurang-kurangnya kena ada tapisan.

“Apa sahaja isu boleh nak dibahaskan tapi dengan siapa yang dirujuk itu penting sebenarnya. Contohnya kalau orang nak borak tentang kapal selam tak akan nak panggil saya?

“Sebab sekarang bila kita lihat terutamanya kanak-kanak minat untuk belajar itu lebih kepada di TikTok. Benda benda yang mudah untuk diakses.

“Bayangkan contohnya konten seperti itu menjadi tular dan melekat dalam pemikiran kanak-kanak tentang sekolah ini tiada apa yang menarik, mesti mereka akan fikir perkara itu betul.

“Kita tidak mahulah buang bangsa yang suka menimba ilmu, kita ini rugi sebab bila makin senang kita nak lagi senang tanpa memikirkan apa yang akan jadi pada masa hadapan.

“Betul, saya memang marah sangat sebab saya rasa tak semua orang boleh buat podcast,” ujarnya.

Naim berkata demikikan selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Sayap bertempat di sebuah hotel pada Rabu.

BERITA TRENDING: Isu Pempengaruh Anggap SPM Tiada Nilai, Naim Daniel Bidas - “Tak Semua Orang Perlu Buat Podcast”


Tambah Naim lagi, dia juga mengakui emosinya turut terkesan kerana tindakan mereka itu memberikan kesan yang buruk terhadap golongan selebriti.

“Kalau dari segi nak dinamakan sebagai marketing, tak akan level itu sahaja kita nak buat terutamanya daripada orang yang bergelar pempengaruh atau selebriti.

“Takkan kita nak letakkan standart pemikiran rakyat Malaysia ini nak kena benda benda yang tidak bagus dahulu baru dapat perhatian.

“Memang selalunya orang akan tertarik dengan benda negatif tetapi adakah itu legasi yang kita nak bagi pada anak-anak di masa akan datang?

“Saya sendiri pun, bila saya menjawab dalam temu bual saya akan berikan bahagian terbaik apa yang boleh saya sampaikan.

“Sebab kita tidak mahu jawab secara semberono atau main tembak sahaja, sayang sebab orang akan tengok.

“Apa yang selebriti ini sampaikan, apa yang kita pakai, apa yang kita buat, apa yang kita utarakan dalam podcast.

“Nanti orang pukul rata, orang akan kata artis Malaysia ini value dia setakat itulah. Buat podcast cerita benda yang merepek.

“Atau pun tajuk yang tak reti nak ulas tapi nak ulas, itulah jadinya. Kita tidak mahulah begitu.

“Bagi saya podcast ini bukan tak boleh, boleh. Tetapi harus diberikan kepada orang yang selayaknya,” jelasnya.

Terdahulu, tular sepotong video yang merakamkan seorang pempengaruh memberikan pendapatnya mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pempengaruh itu berpendapat orang ramai sepatutnya memberikan keutamaan terhadap ilmu Allah SWT kerana SPM tidak mempunyai nilai dan dalam kehidupan seseorang.

Selain pempengaruh berkenaan, penyanyi As’ad Motawh juga turut dikecam kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan pembaziran masa untuk ke sekolah.

#Viral #sekolah #Isu #Tular #Naim Daniel #Podcast #Pempengaruh
;