Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi bagi membayar ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Manerusi laman sosial Instagram, anak beliau, Nooryana Najib memaklumkan bahawa dia dan adiknya, Norashman bertindak sebagai penjamin kepada bapa mereka bagi kes tersebut.

“Sudah 48 jam yang penuh emosi telah berlalu tetapi doa, harapan dan galakan yang diterima membuatkan kami bertahan. Nanti Insha-Allah saya akan balas satu persatu selepas dah selesai urusan mahkamah untuk pagi ni. Saya dan adik saya adalah penjamin untuk kes SRC,” tulis Yana menerusi ruangan IG story.

Walaupun mengakui kecewa dengan keputusan yang telah diterima semalam, namun mereka tetap tidak putus asa untuk meneruskan perjuangan menafikan setiap tuduhan yang dikenakan kepada Najib Razak.



Terdahulu, ahli parlimen Pekan itu hadir pada jam 1 tengah hari ditemani anak lelakinya, Norashman, selaku penjamin.

Kira-kira setengah jam kemudian, Najib dilihat keluar dari kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi selepas selesai membayar ikat jamin.

Sebelum beredar meninggalkan perkarangan mahkamah, Najib sempat berseloroh kepada petugas media yang menunggu dengan berkata, "semalam dah banyak gambar."

Najib kemudian beredar dari mahkamah dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Najib, 67, membayar ikat jamin RM1 juta itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Najib melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan.

Sumber: BH Online