Nampaknya tiada yang mampu menghalang penyanyi kecil molek, Yana sejak dia melangkah masuk ke industri muzik tempatan. Biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, dia berjaya menjenamakan dirinya semula dengan menggunakan nama pentas yang baharu.

Tidak lagi menggunakan nama kelahirannya Shalma Eliana, Yana yang ‘baru muncul’ ini sudah mula mencuri perhatian serantau selepas melancarkan balada Bahasa Inggerisnya yang pertama berjudul Your Loss beberapa bulan lalu.

Bersedia untuk mengembangkan kariernya, Yana kembali dengan sebuah lagi karya berbahasa Inggeris berjudul I Need U - sebuah lagu yang ditulisnya sendiri untuk meluahkan penghargaan terhadap mereka yang dia sayangi.

“Lagu ini muncul di kala saya berada di satu tahap yang paling rendah dalam kehidupan dan teman-teman sayalah yang membantu saya untuk melalui fasa tersebut. Itu membuat saya sedar betapa pentingnya kehadiran serta sokongan rakan-rakan ketika itu dalam membantu saya untuk bangkit semula,” ujar Yana.

Digubah dan ditulis oleh Yanai di bawah nama asalnya Shalma Eliana, I Need U juga diterbitkan oleh penerbit yang kian meningkat naik, SeaTravel.

“Lagu yang menjelaskan kepentingan sistem sokongan ini ditujukan buat rakan-rakan saya dan ia juga datang dengan sebuah video muzik yang dirakam di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Ia menunjukkan betapa kita semua saling memerlukan. Malah, kawan-kawan rapat saya turut muncul dalam video muzik ini dan itu memudahkan proses kerana kami tidak perlu membuat sebarang lakonan. Semuanya adalah semula jadi.

“Saya juga mahu semua orang sedar bahawa hidup kita sangat beruntung dengan pelbagai nikmat walau ada cabarannya. Jadi, ia sangat penting untuk kita menghargai semua ini dalam melihat keindahan dunia,” tambah Yana lagi.

“Hasil lagu ini memenuhi jangkaan dan harapan saya jadi saya harap para pendengar akan menyukainya dan saya juga harap akan dapat menemui kelompok pendengar yang baharu. Semoga semua orang mampu menghargai serta merasai maksud lagu ini,” tutupnya.

I Need U kini berada di semua platform digital.