Sudah menjadi resam hidup, yang patah tumbuh, yang hilang berganti, namun yang telah pergi itu sudah semestinya tidak akan dilupakan dari ingatan kita semua.

Tahun ini menyaksikan ramai bintang dan penggiat seni tanah air pergi meninggalkan kita semua. Hilangnya sinaran mereka dalam industri pastinya dirasai oleh teman seperjuangan, peminat, apa lagi ahli keluarga.

Di sini, Gempak imbas kembali pemergian para penggiat seni tanah air yang meninggalkan kita dalam tahun ini.
Kita kirimkan gugusan doa dan semoga semuanya tenang di alam sana.

Lok-U



Komposer dan penerbit muzik terkemuka tanah air, Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok-U meninggal dunia pada 22 Januari 2020.

Pemergian Lok-U ternyata membuatkan industri muzik benar-benar merasai kehilangannya. Difahamkan, Allahyarham mengalami sesak nafas selepas pulang dari jogging dan rebah di kediamannya sebelum dikejarkan ke hospital.

Abam Bocey



Pelawak Abam Bocey meninggal dunia di kediamannya pada 10 Februari 2020. Berita pemergian Abam amat mengejutkan para penggiat seni dan peminatnya. Menurut isterinya Hidayah, Abam mula tidak sedarkan diri ketika dia mengejutkan arwah di waktu subuh.

Dua hari sebelum itu, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar ada mengadu kurang sihat namun menganggap ia hanya demam ringan sahaja.

Ashraf Sinclair



Tidak lama selepas pemergian Abam, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan pula dengan pemergian pelakon Ashraf Sinclair pada 18 Februari 2020.

Ashraf yang merupakan suami kepada selebriti Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) itu meninggal dunia secara mengejut dipercayai akibat serangan jantung. Sehingga kini, BCL masih bersedih dengan pemergian suami tercinta, namun semakin tabah meneruskan kehidupan.

Maya Matahari



Pada bulan seterusnya, penyanyi yang popular dengan lagu Matahari, Maya pula meninggalkan kita semua. Difahamkan, Maya atau nama sebenarnya, Myanaliza Ruslee menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.00 petang, 18 Mac 2020 selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Abu Bakar Juah



Pelakon veteran, Abu Bakar Juah meninggal dunia pada 15 Ogos 2020 di kediamannya. Beberapa hari sebelum pemergian itu, media tempatan ada melaporkan Allahyarham berada dalam keadaan tenat akibat mengalami kanser hati.

Pada tahun 2016, Abu Bakar disahkan menghidap kanser usus namun sembuh selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi. Meskipun disahkan bebas dari cengkaman kanser, penyakit tersebut kembali menyerang pada awal tahun lalu dengan lebih agresif dan merebak ke hati.

Yusof Kelana



Pengarah dan penerbit filem veteran, Yusof Kelana meninggal dunia pada usia 66 tahun pada pukul 9.30 pagi di kediamannya pada 15 Ogos 2020.

Allahyarham meninggal dunia akibat mengalami kanser kulit tahap keempat. Dua tahun sebelum pemergiannya, Yusof atau nama sebenarnya, Omar Saleh mendapat simtom awal iaitu luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kakinya. Namun Allahyarham tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan membiarkan luka itu merebak kerana tidak suka ke hospital.

Kumin KU2



Pelawak Kumin KU2 meninggal dunia pada 3 September 2020 akibat terjatuh dari katil di rumahnya. Difahamkan, Allahyarham berada dalam keadaan baik sebelum terjatuh dan tak sedarkan diri.

Ogos lalu, Kumin telah dimasukkan ke hospital selepas mengadu kebas anggota badan akibat serangan angin pasang.


Datuk Zulkifli Zain



Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia pada usia 76 tahun pada 5 September 2020.

Allahyarham yang juga suami kepada pelakon Datin Normala Omar menghembuskan nafas terakhir ketika azan Maghrib. Difahamkan, Allahyarham telah menghidap penyakit angin ahmar, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Sandra



Pemergian Sandra amat mengejutkan semua. Manakan tidak, Sandra yang ketika itu sedang menyertai pertandingan Big Stage 2020 meninggal dunia pada 11 September 2020 setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan.

Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya, Alessandra Dianne Ampuria terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ketika menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi tujuan rehearsal.

Idris Mohd Diah



Pelakon veteran Idris Mohd Diah atau lebih dikenali sebagai Idris Diah dilaporkan meninggal di kediamannya pada 14 September 2020.

Anak Allahyarham, Alia memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi hari pemergian. Alia turut memberitahu, Allahyarham tidak mempunyai selera makan dua tiga hari sebelum itu.

Pak Lah Cecupak



Pelawak senior, Pak Lah Cecupak menghembuskan nafas terakhir pada 21 November 2020 pada usia 53 tahun akibat mengalami kanser usus.

Sebelum pemergiannya, Pak Lah atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ekoran masalah kesihatan yang merosot.

Rishi Kapoor



Pelakon lagenda Bollywood, Rishi Kapoor meninggal dunia pada usia 67 tahun akibat mengalami kanser pada 30 April 2020.

Mendiang telah mendapatkan rawatan kanser di Amerika Syarikat selama hampir setahun sebelum itu. Rishi telah dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali pada Februari lalu ekoran masalah kesihatannya itu.

Kelly Preston



Isteri kepada pelakon senior Hollywood John Travolta, Kelly Preston meninggal dunia pada Julai selepas dua tahun bertarung dengan kanser payudara.

Kelly merupakan seorang pelakon dan pernah muncul dalam muzik video Marron 5, She Will Be Loved yang masih diminati sehingga kini.

Naya Rivera



Pemergian pelakon siri televisyen popular Glee ini juga sangat mengejutkan. Naya Rivera ditemui terapung di Tasik Piru, Selatan California, Amerika Syarikat selepas hampir seminggu dilaporkan hilang.

Penemuan mayat itu sekaligus menjawab segala persoalan selepas kehilangan Naya, 33 pada 8 Julai 2020 ketika berenang di tasik berkenaan. Rivera hilang selepas keluar berenang seharian dan meninggalkan anak lelakinya, Josey Hollis Dorsey, 4, di dalam bot.

Sir Sean Connery



Siapa sahaja tidak mengenali lagenda James Bond ini. Sean Connery meninggal dunia dalam tidurnya di Bahamas setelah dilaporkan tidak sihat beberapa hari sebelum itu.

Selain cukup terkenal dengan watak James Bond, mendiang juga membina imej yang baik menerusi filem seperti The Hunt for Red October, Indiana Jones and the Last Crusade serta The Rock.

Demikianlah nama-nama bintang tempatan dan antarabangsa yang meninggal dunia dalam tahun 2020 ini.

Semoga sumbangan mereka dalam industri seni terus dikenang sepanjang zaman, kepada mereka yang beragama Islam, mari sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah.