Viral
"Yang Tular Itu Bukan Kafe Kami" - Kafe Ruhil Shafinaz Sunyi Gara-Gara Pihak Tidak Bertanggungjawab
Bekas pengacara TV, Ruhil Shafinaz membuat kenyataan rasmi selepas menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan perniagaannya terjejas.
Ruhil menerusi sebuah muat naik di laman sosial Fabebook (FB) dan Instagram (IG)nya berkata, ada pihak yang telah memaparkan gambar dia dan suami menerusi Whatsapp dan mengaitkan mereka dengan sebuah kafe yang tular baru-baru ini.
Katanya salah faham bermula apabila sebuah kafe yang menggunakan nama hampir sama dengan restoran miliknya dan suami iaitu ‘BungaLawang’.
“Kafe kami perkataan ‘Bunga Lawang’ itu dirapatkan, tetapi restoran yang tular baru-baru ini dua perkataan tersebut jarak dan mereka menggunakan nama ‘Restaurant Bunga Lawang’.
“Yang menjadi kekeliruan apabila ada pihak yang meletakkan gambar ‘Kafe BungaLawang’ kami pada berita tular yang melibatkan ‘Restaurant Bunga Lawang’ yang terletak di Desa Chempaka, Seremban dan Chaterfield KLIA.
“Akibatnya sales kami terjejas teruk...cafe kami sunyi,” luahnya kesal.
Tambah Ruhil lagi, restoran yang viral sebelum ini didakwa menghidangkan makanan yang tidak halal kepada Jemaah umrah dan haji di KLIA.
“Isu viral ni memang sensitif dan membangkit kemarahan ramai kerana melibatkan agama, bangsa dan soal menghidangkan makanan halal haram kepada jemaah umrah dan haji di KLIA.
“Dan malangnya kami yang menerima tempiasnya dan dihukum tanpa usul periksa,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhil turut memohon orang ramai supaya tidak tertipu dengan gambar restoran, dirinya serta suami yang tular dan dikatakan pemilik ‘Restaurant Bunga Lawang’.
“Kafe ‘BungaLawang’ dan ‘Restaurant Bunga Lawang’ adalah dua entity berbeza. Kami mohon jasa baik orang ramai supaya tidak tertipu.
“Tularkanlah apa yang saya kongsikan di sini (FB dan IG),” katanya yang turut memuat naik kenyataan rasmi dari pihak kafe ‘BungaLawang’ berkenaan penyalahgunaan fotonya dan suami serta restoran mereka menerusi Whatsapp yang tular.