Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Yasin Antara Manusia Yang Banyak Mengubah Hidup Saya Ke Arah Kebaikan” - Faizal Tahir

Izwan Isa 26/05/2022 | 23:50 MYT

Penyanyi, komposer dan penerbit lagu, Faizal Tahir mengakui bahawa Yasin Sulaiman merupakan antara sahabat rapat yang berjaya mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik seperti apa yang dilihat oleh khalayak hari ini.

Faizal berkata, banyak perkara tentang kehidupan yang dipelajari daripada Yasin, terutama melibatkan hal-hal berkaitan agama dan juga al-Quran.
“Banyak yang saya belajar daripada Yasin Sulaiman sepanjang kami bersahabat. Saya belajar tentang al-Quran, tadabbur dan hal yang berkaitan dengan kehidupan. Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan antara manusia yang banyak mengubah saya ke arah kebaikan.
“Masih ingat lagi ketika saya dan dia tinggal di kediaman yang sama, kami selalu menghabiskan masa berdua. Cuma apabila dia sudah berpindah, kami terus jarang bertemu.
“Sehinggalah beberapa hari sebelum dia ditahan, saya memang berniat nak jumpa dengan dia. Sebab sudah hampir setahun lebih tidak bersua muka. Malangnya, hasrat hati saya tidak kesampaian,” katanya kepada Gempak.
Faizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Alah Bisa yang menampilkan rakan duet penyanyi Amira Othman di ibu kota semalam.
Dalam pada itu, Faizal turut mendedahkan yang dia berasa sedih dengan apa yang terjadi terhadap sahabat baiknya itu.
“Of course saya cuba berhubung dengan dia tetapi tak dapat. Saya cuba hubungi peguamnya juga tidak berjaya, barangkali sibuk. Saya faham, waktu sebegini memang dia memerlukan sokongan rakan-rakan.
“Bila jadi macam ni sedihlah… Lillahitaala, dia merupakan manusia paling baik yang pernah jumpa. Hati dia bersih, dia tak pernah buruk sangka dan dia sangat suka tolong orang. Kalau orang tengok saya macam ni, yang saya dah lain, nama yang saya akan naikkan adalah nama Yasin.
Tambah Faizal, hukuman yang diberikan kepada Yasin dirasakan tidak masuk akal.
“Hukuman yang dia terima itu tak masuk akal pada saya. Kalau kita nak buat apa-apa pun, biarlah kita tengok latar belakang seseorang itu, dan kenapa dia buat perkara berkenaan, dan apakah perkara lain yang dia lakukan memberi impak kepada orang lain.
“Bukan saya seorang sahaja yang jadi baik sebab dia, tapi saya percaya orang lain pun sama,” tutup Faizal.
Untuk rekod, pada 31 Mac lalu Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman , 47, mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

#Faizal Tahir #Yasin Sulaiman
;