Penyanyi Yasin Sulaiman memberitahu dia tidak pernah menghalang minat anak-anaknya sekiranya mereka mahu menceburi bidang seni satu hari nanti.

Bahkan, menurut Yasin, 44, sebagai seorang bapa, dia akan sentiasa menyokong apa jua jalan yang dipilih anak-anaknya selagi ia memberikan kebaikan kepada mereka.

"Anak perempuan saya seorang yang petah bercakap dan pernah menjadi hos untuk sebuah rancangan kanak-kanak di Youtube.

"Cuma, abangnya seorang yang agak introvert, lebih cenderung kepada melukis dan membuat rekaan.

"Sebenarnya, saya mengikut sahaja apa yang mereka nak ceburi. Kalau berminat dengan dunia seni, saya tetap akan beri sokongan," katanya kepada Gempak.

Yasin ditemui ketika majlis pelancaran syarikat rakaman RedRecords yang merupakan usahasama antara AirAsia dan Universal Music Group di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis tersebut RedRecords turut memperkenalkan artis naungan pertama mereka, Jannine Weigel dari Thailand.



Dalam pada itu, kata Yasin, dia mengakui anak perempuannya memang mempunyai bakat dalam nyanyian.

"Saya ada dengar suara dia menyanyi. Saya merasakan dia ada bakat, cuma tak tunjuk lagi keseriusan ke arah itu lagi," katanya.

Sebelum ini, anak perempuan Yasin, Malaika pernah mencuri tumpuan netizen selepas pelantun lagu Mimpi Laila itu berkongsi gambar anaknya.

BACA: “Cantik Anak Dara…”- Yasin Sulaiman Kongsi Foto Bersama Anak… Ada Yang Terpikat?

Yasin mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Eena Houzyama Syed Hassan pada tahun 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata, Sameer, 15 dan Malaika, 11.