Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Yasin Terlepas Hukuman Penjara Seumur Hidup, Sempat Beri 'Flying Kiss’ Kepada Keluarga

Gempak 28/04/2025 | 06:42 MYT

Selepas dijel selama tiga tahun, penyanyi, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, daripada tiga kes dadah.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman ditempatkan di bawah jagaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut tempoh perkenan sultan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menerima rayuan terakhir Yasin, 50, selaku perayu dengan mengetapikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

Selepas keputusan dibaca, penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ itu melemparkan ‘flying kiss’ kepada ahli keluarga dan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik di atas kejayaan tersebut.

Mendengar keputusan itu, riak wajah ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 17 tahun tersenyum dan melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah.

Semasa membaca membaca keputusan sebulat suara, Hakim, Che Mohd Ruzima berkata, mahkamah mengembalikan hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepaskan dan membebaskannya.

Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin, 50, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.

Bagi kes dalam milikannya dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, komposer itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Kes menanam 17 pokok kanabis pula, duda anak dua berkenaan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan sementara kes memberikan dirinya dadah berbahaya, dia dijel selama 10 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.

Susulan keputusan berkenaan, Yasin yang sebelum ini ditempatkan di hospital bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, segera digari oleh pihak polis dan dibawa ke Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan hospital bahagia mengikut tempoh perkenan sultan.

Sumber: Sinar Harian

#Dadah #Yasin #Terlepas Hukuman