Pendatang baru yang sedang meningkat naik, Meerqeen menafikan gaya lakonan dan bahasa tubuhnya mempunyai persamaan dengan pengarah dan pelakon popular Syamsul Yusof.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen berkata, sebelum ini ada peminat memberitahu perkara sama kepadanya.

“Reaksi saya bila mereka (peminat) cakap macam tu saya tanya balik kepada mereka ‘ye ke sama’? Sebab saya tak rasa pun sama.

“Mungkin sebab tone suara saya yang bass kot, tu yang orang samakan saya dengan Syamsul,” katanya kepada Gempak.

Meerqeen sebelum ini telah menewaskan beberapa nama popular seperti Hun Haqeem, Zul Ariffin, Yusof Bahrain, Aeril Zafrel dan Adam Lee dalam undian Gempak Most Wanted 2020 dalam kategori Artis Kacak Tergempak 2020.

“Terima kasih banyak-banyak untuk semua peminat yang undi, saya hargai setiap masa yang digunakan untuk mengundi.

“Tak dapat saya balas pengorbanan masa anda semua dan bagaimanalah saya nak tunjukkan yang saya hargai usaha peminat-peminat semua.

“Cuma satu, saya nak peminat-peminat dan mereka yang telah menyokong selama ini tahu yang saya sayangkan mereka semua,” katanya.

Tambah Meerqeen lagi, dia juga tidak menyangka undian pembaca Gempak akan berpihak kepadanya kerana artis lain yang tersenarai juga mempunyai kelebihan masing-masing.

“Zul Ariffin, Aedy Ashraf dan Aeril Zafrel adalah nama-nama besar yang kita tahu mempunyai rupa paras dan lakonan yang sangat bagus.

“Saya pun kalau boleh mahu jadi pelakon sehebat mereka. Seiring rupa dan bakat kurniaan Illahi. Dengan rupa dan bakat yang ada, Insya-Allah saya akan gunakan dengan jalan yang betul,” kataya positif.

Dalam pada itu Meerqeen juga tidak menolak kemungkinaan lakonannya dalam drama Angkara Cinta menjadi faktor dia mendapat undian tertinggi.

“Alhamdulillah, drama Angkara Cinta membuatkan nama saya lebih dikenali oleh masyarakat. Peminat juga suka dengan watak ‘Hakim’ yang saya bawa.

“Jadi tak mustahil Angkara Cinta menyebabkan undian saya lebih tinggi berbanding yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan dalam karier pada tahun 2021 ini, Meerqeen berharap agar dapat mengembangkan lagi bakat lakonannya.

“Azam tahun 2021 saya ialah nak dapatkan gelaran pelakon terbaik dan bekerja keras untuk capai apa yang telah saya cita-citakan.

“Insya-Allah 2021 adalah tahun untuk saya mencipta nama dan menjadi anak seni yang mengharumkn nama Malaysia termasulah kedua ibu bapa saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain Meerqeen dan pihak pengurusannya kini sedang dalam proses pembikann lagu yang untuk dirinya.

“Saya masih muda dalam industri ini, saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk menyusun segala jadual untuk mencapai sasaran saya pada tahun 2021 ini.

“Bukan tamak tetapi tidak salah kalau saya mencuba mempelbagaikan lagi bakat saya dalam bidang selain lakonan seperti menyanyi atau mengacara,” katanya.