"Yeahh Gigi Ainul Dah Tumbuh Sebatang" - Ibu Ainul Berterima Kasih Dengan Doa Semua

Badrul Hashim
September 22, 2019 21:05 MYT
Tiada yang lebih menggembirakan seorang ibu selain melihat anak-anak sihat dan membesar dengan baik. Begitu juga dengan Nurul Erwani Zaidi yang berkongsi berita gembira tentang anaknya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiudin.
Puteri cilik ini menjadi bualan dan doa rakyat Malaysia apabila dia diterbangkan ke London, United Kingdom untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dimulutnya.
Kisah Ainul mendapat perhatian pakar bedah pelatih Dr. Nur Amalina Che Bakri yang berusaha membawa Ainul bersama ibu bapanya ke London.
Selepas lima jam menjalani pembedahan dan mendapat rawatan daripada pakar terbaik di Hospital Great Ormond Street, London, dan berada di bawah pemerhatian pakar di sana selama lebih dua bulan, akhirnya Ainul pulang ke Malaysia.
Nurul Erwani berkongsi berita gembira apabila Ainul mula tumbuh giginya yang pertama di Instagram miliknya melalui satu perkongsian video pendek.
"Masih setia bermain bersama permainan kesukaannya. Dan Yeahhh gigi Ainul dah tumbuh sebatang. Cantik! Alhamdulillah syukur.
Terima kasih semua doakan untuk Ainul. Jangan lupa doakan untuk orang lain juga ya. Semoga semua sentiasa dirahmati oleh Allah SWT sentiasa," tulis Nurul pada entri tersebut.
Kisah Ainul mendapat liputan meluas bukan sahaja dari pihak media, tetapi juga rakyat Malaysia yang turut sama berkongsi cerita di media-media sosial.
#. #Ainul Mardhiah #Tumbuh Gigi