Berita baik guys! Syarikat telekomunikasi YES milik YTL Communications mengambil inisiatif untuk membantu memberikan akses data kepada mereka yang sangat memerlukan iaitu golongan B40.

YES KASI UP B40 ini yang menawarkan 40GB data percuma kepada setiap ahli komuniti B40 yang berdaftar.

Untuk memohon, golongan B40 dikehendaki memberikan butiran perhubungan mereka di https://www.yes.my/ms/kasiupB40 bagi membolehkan kad sim YES dihantar terus ke rumah anda.

Pemohon tidak perlu bimbang tentang kos penghantaran kerana ia adalah percuma. Selepas ia diaktifkan melalui aplikasi MyYes, 40GB data percuma tersebut sah untuk tempoh 60 hari.

Menurut Pengarah Urusan YTL Communications, Dato’ Yeok Seok Hong inisiatif itu dilakukan selepas kejayaan setahun mereka melancarkan program berimpak tinggi Belajar Dari Rumah yang menyediakan data kepada murid-murid di sekolah kerajaan dan telefon secara percuma untuk pelajar-pelajar B40.

“Genap setahun sejak kami mula memberikan data percuma kepada mereka yang sangat memerlukan. Perjalanan itu bermula dengan inisiatif Belajar Dari Rumah Yayasan YTL dengan kerjasama YES.

“Sasarannya pada ketika itu ialah untuk memastikan semua murid-murid sekolah di Malaysia dapat terus belajar, walaupun semasa perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga turut menerangkan antara kelebihan YES KASI UP B40 yang ditawarkan.

“Setahun kemudian, kami memperluaskan inisiatif data percuma ini kepada semua rakyat B40. Dengan pembukaan semula ekonomi, dan tekanan yang dialami oleh rakyat akibat kehilangan pekerjaan, kemerosotan pendapatan dan kelembapan aktiviti perniagaan, adalah penting untuk kita terus memainkan peranan merapatkan jurang digital.

“Akses kepada data adalah penentu kejayaan, setiap rakyat Malaysia mesti boleh mendapat akses Internet berkelajuan tinggi untuk belajar, bekerja, mengembangkan perniagaan dan membeli-belah barangan keperluan harian mereka.

“Ia merupakan satu-satunya cara untuk memastikan Malaysia mencapai potensi sepenuhnya. Pendemokrasian data ini adalah inti pati paling utama inisiatif YES Kasi UP.

“Matlamat YES Kasi Up ialah untuk mencari cara baru dan berinovasi bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutama sekali mereka yang kurang berkemampuan, dengan melengkapkan mereka dengan komoditi paling penting hari ini iaitu data.

“Kita hanya boleh menjadi sebuah negara yang inklusif apabila kita menjadikan data boleh diakses dan mampu dimiliki oleh semua, dan itulah perkara yang YES ingin lakukan,” jelasnya.

YES KASI UP B40 adalah tonggak kelima dalam siri inisiatif YES yang dilancarkan sejak Disember 2020 bagi membolehkan rakyat Malaysia merapatkan jurang digital.

Sebelum ini, YES Databack telah dilancarkan dengan kerjasama Shopee Malaysia, ia merupakan program pertama seumpamanya yang memberi ganjaran data percuma kepada para pembeli setiap kali mereka berbelanja.

Program yang sedang berjalan ini memberikan pembeli 5GB data percuma untuk setiap RM50 yang mereka belanjakan di dalam Shopee.

Sejak ia mula dilaksanakan, YES telah memberikan berjuta data percuma kepada pelanggan-pelanggan Shopee di bawah program YES Databack.

Selain itu, syarikat telekomunikasi ini juga telah memperkenalkan YES Kasi Up Prepaid 15 iaitu pelan prabayar paling mampu milik di Malaysia, dan YES Kasi Up Postpaid 49, dengan yuran percuma selama 6 bulan untuk kontrak selama 2 tahun bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mendapat akses data pada harga mampu milik.

YES juga turut memperkenalkan program YES Kasi Up Refer & Earn, yang memberi peluang kepada pelanggan YES untuk menjana pendapatan tambahan dengan memberikan mereka wang tunai RM50 setiap kali mereka merujukkan YES kepada rakan atau ahli keluarga mereka, di mana pelanggan baru itu juga mendapat jumlah yang sama.