"Yes Queen!" - Michelle Yeoh Bintangi Sekuel Avatar

Amri Hassan
April 17, 2019 03:44 MYT
Pelakon tempatan yang melakar nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh bakal membintangi filem sekuel Avatar.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau menerusi akaun Instagramnya semalam.
"Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada francais Avatar dan tidak sabar untuk bekerja dengan James Cameron," tulis beliau.
Difahamkan Yeoh bakal melakonkan peranan Dr. Karina Mogue dalam filem francais itu.
"Sepanjang kerjayanya, Michelle sentiasa diberikan watak yang unik dan meninggalkan kesan kepada penonton.
"Saya turut teruja untuk bekerjasama dalam sekuel Avatar," kata Cameron.
Filem epik fantasi tahun 2009 itu telah meraih kutipan AS$2.8 bilion (RM11.5 bilion) manakala sekuel Avatar 2 dijangka bakal ditayangkan pada 18 Disember 2020.
Filem Avatar 3 pula berkemungkinan akan ditayangkan pada 17 Disember 2021, Avatar 4 (20 Disember 2024) dan Avatar 5 (19 Disember 2025).
Menerusi kemaskini itu, Instagram Yeoh dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat terutama dari Malaysia.
#Hollywood #Filem #Hollywood #Avatar #Filem #Tan Sri Michelle Yeoh