Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM)23 mengangkat album Deluxe Version milik penyanyi Yonnyboii sebagai pemenang kategori Album Terbaik.

Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan Yonnyboi menerima sebuah trofi kemenangan dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM500,000 yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Manakala lagu Goodbye Hello nyanyian Ernie Zakri dan Syamel dinobatkan sebagai Lagu Terbaik AIM23 yang membawa pulang DKD RM50,000.

Selain Lagu Terbaik, Ernie turut memenangi dua trofi lain iaitu Lagu Pop Terbaik (Goodbye Hello) dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati.



Sementara itu, kategori Rakaman Lagu Terbaik telah dimenangi oleh Dayang Nurfaizah menerusi lagu Tudung Periuk dan turut menerima insentif DKD berjumlah RM20,000 beserta trofi.

Manakala, Artis Baru Terbaik dimenangi oleh Vanessa Reynauld yang turut menerima DKD berjumlah RM50,000.



Bagi kategori Video Muzik Terbaik, lagu Gatal milik Janna Nick menerima DKD RM20,000.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, penganjuran AIM adalah perlu bagi mengiktiraf karya-karya seni muzik tanah air.

"Saya ucapkan tahniah kepada penganjur diatas penganjuran anugerah yang gilang gemilang ini.

"Anugerah sebegini sudah lama tidak dianjurkan dan apabila sudah ada pelung , semua pihak mengambil peluang tersebut termasuklah penganjuran AIM23.

"Penganjuran AIM adalah penting dan perlu dilaksanakan untuk memberikan pengiktirafan kepada pekarya seni tanah air.

"Saya harap AIM akan terus diadakan pada edisi seterusnya," katanya usai malam kemuncak anugerah itu.

Bertemakan Glam dan Sophisticated, AIM23 telah dijurikan oleh barisan juri professional seperti Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan beberapa lain lagi.

Malam penuh bersejarah itu turut diserikan dengan persembahan dari barisan selebriti antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Nikki Palikat, Aina Abdul, Marsha Milan dan ramai lagi.



AIM23 disiarkan secara siaran langsung menerusi saluran 104 (Astro RIA) dan Radio ERA.

Berikut merupakan senarai pemenang AIM 23:

1.Lagu nasyid terbaik - Thank You Allah : Alyah ft Cat Farish & Ustaz Haris
2.Lagu pop etnik terbaik - Adat kasih : Ziha Salleh
3.Artis baru terbaik - Vanessa Raynold
4.Runut lagu terbaik - Buat Ku Sempurna : hi Shila Amzah & Liza Hanim
5.Lagu R&B/hip hop terbaik - Ciao : Joe Flizzow
6.Lagu pop elektronik/dance terbaik - Fun, Lust, Love : Late Night Frequency
7.Video muzik terbaik - Gatal : Janna Nick
8.Lagu inggeris tempatan terbaik - Game of Charades : Sophia Zuhri
9.Lagu Cina terbaik : Uriah
10.Lagu bahasa Meolayu terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara : Tak Ingin Usai Lagi - Keisya Levronka
11.Lagu rock terbaik - Tugu Ugut : Sekumpulan Orang Gila (SOG)
12.Lagu pop terbaik - Goodbye Hello : Syamel & Ernie Zakri
13.Persembahan vokal berkumpulan terbaik dalam lagu - VE : Tunggu
14.Persembahan vokal dua kolabrasi dalam lagu - Buat Ku Sempurna : Shila Amzah & Liza Hanim
15.Persembahan vokal terbaik di dalam lagu lelaki - Arddley Nicholas : Pilu
16.Persembahan vokal terbaik di dalam lagu wanita - Ernie Zakri : Sinar Mata Hati
17.Anugerah Sri Wirama- Tan Su Loke
18.Kulit Single/Album Terbaik - Adat Kasih : Ziha Salleh
19.Lagu Terbaik - Goodbye Hello - Syamel & Ernie Zakri
20. Album Terbaik - Deluxe Version : Yonnyboi
21. Rakaman Lagu terbaik - Dayang Nurfaizah : Tudung periuk
22. Rakaman lagu terbaik di dalam album- Belagu : Dayang Nurfaizah
23. Susunan muzik terbaik di dalam lagu - Tudung Periuk : Dayang Nurfaizah