Seorang askar akui terpaksa membatalkan hasrat untuk membunuh diri selepas secara tidak sengaja bertemu dengan anggota Running Man, Yoo Jae Suk.

Insiden tersebut diceritakan kembali oleh askar itu menerusi satu entri dilaman sosial sehingga menjadi viral di Korea.

Menurut askar tersebut, kejadian itu berlaku kira-kira lima belas tahun yang lalu apabila dia nekad untuk membunuh diri kerana desakan hidup.

Dia juga menjadi semakin tertekan apabila menyedari tidak mempunyai wang untuk membeli makanan sendiri.

Tambahnya lagi, dia tidak menyangka akan bertemu dengan pengacara nombor satu Korea itu pada hari yang sama dia membuat keputusan untuk membunuh diri.

Yoo Jae Suk kemudiannya membelikan makanan dan memberikan nasihat tanpa mengetahui hasratnya.

“Selepas bertemu dengannya, saya sendiri terkejut dengan perubahan emosi yang saya alami dan mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat tersebut.

“Sebaliknya saya berjanji akan terus bekerja keras untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

“Yoo Jae Suk merupakan seorang manusia yang sanggup memberikan pertolongan dan kasih sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” tulisnya seperti yang dilapor Koreaboo.

Askar itu juga berharap dapat bertemu dengan Jae Suk sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan nyawanya.