"You Have My Heart!" - Setahun Kenal, Hunny Madu Tayang Kekasih Baru Dari Itali

Amri Hassan
Januari 2, 2020 08:33 MYT
Selepas lebih setahun bercerai, pengacara dan penyanyi Hunny Madu akhirnya mendedahkan kekasih baharu, Fedrighi Francesco.
Jelas Hunny, dia akhirnya memberanikan diri untuk berkongsi foto cef restoran mewah itu selepas mengenali satu sama lain sejak setahun lalu.
"Sudah masuk setahun saya bertemu kamu dan saya tak tahu bagaimana cara terbaik untuk memulakan entri pertama tahun 2020 melainkan foto kita berdua.
"Kamu individu terbaik dalam hidup saya dan ketika sedang menaip kapsyen ini pun kamu ada menunggu di samping saya.
"Saya mahu kamu tahu bahawa hati saya kini milik kamu. Kamu hebat Francesco," tulisnya berkongsi sekeping foto bersama.
Dalam pada itu, Hunny akui kehadiran Francesco disambut baik oleh anak-anaknya, Adam Musa, 3, dan Eva Medina, 7.
"Terima kasih kerana terus bersama saya setiap masa dan anak-anak saya pun menghargai kamu juga.
"Wow! Saya gementar ketika menulis kapsyen ini tetapi hati saya tetap rasakan saya perlu kongsikannya hari ini," tambahnya.
Sementara itu, Francesco turut memuat naik foto-foto bersama Hunny sejak beberapa bulan lalu.
Francesco merupakan cef antarabangsa yang berasal dari Itali dan bertugas di sebuah restoran mewah ibu kota sejak 2018.
Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 36, telah mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar pada 2010 dan bercerai pada Oktober 2018.
#Hunny Madu #Pengacara #Fedrighi Francesco