Penyanyi Tasha Mansahar mengucapkan rasa syukur apabila bapanya, Mohd Manshahar sudah dibenarkan keluar dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Maeps Serdang.

Tasha turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan bapanya.

"Bersyukur dapat melihat lambaian itu lagi. Alhamdulillah, ayah sudah dibenarkan keluar! Betullah doa itu senjata. Ramai sangat mendoakan dekat video ayah naik ambulan itu. Mana yang doakan dalam diam lagi.

“Terima kasih banyak-banyak. Subhanallah jangan pernah ragu dengan kekuatan doa," tulisnya.

Berita gembira tersebut dimuatnaik Tasha menerusi laman sosial Instagramnya pada petang Jumaat (semalam).

Menerusi hantaran sama Tasha juga merakamkan ucapan terima kasih buat petugas barisan hadapan yang menjaga bapanya sepanjang berada di PKRC Maeps.

"Kepada semua petugas barisan hadapan di Maeps, terima kasih kerana menjaga keluarga saya. Terima kasih Allah kerana memudahkan urusan ayah.

"Sepanjang di Maeps, urusannya mudah dan ayah juga dapat kawan-kawan baru. Tapi, mestilah dia lebih suka berada di rumah dan akhirnya, ayah dah dapat balik! Kita tunggu mummy pula ya," tulisnya.

Bapanya dibawa ke PKRC Maeps pada 24 Mei lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Tasha memohon pengikut di IG mendoakan ibunya, Herina Wong Abdullah yang masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.

Tasha juga sempat berpesan kepada semua yang ahli keluarga mereka sedang bertarung melawan wabak Covid-19 agar tidak berputus asa dan terus berjuang.