Youtuber berasal dari Sabah, Adam Shamil menjadi warga Malaysia pertama diberi kepercayaan berkolaborasi bersama Nas Daily, pencipta kandungan terkenal dunia.

Menurut Adam atau nama sebenarnya Adam Shamil Misran, 26, dia tidak menyangka dihubungi oleh pihak Nas Daily untuk mengarah sebuah video mengenai Asia’s Superhuman’ di Malaysia.

“Projek pertama dengan Nas Daily berjudul ‘Asia’s Superhuman’ di mana hubungi saya untuk minta saya mengarah video adik Veveonah Mosibin.



This makes me the first Sabahan and the first Malaysian to direct a series by Nas Daily! Dia juga telah menawarkan saya untuk menyertai Nas Academy sebagai tenaga pengajar pencipta kandungan,” ulas Adam ketika dihubungi Gempak.

Tambah Adam lagi, dia sudah lama meminati hasil kerja Nas sejak awal lagi.

“Satu hari saya cuba mesej dia di Instagram dan tak sangka dia balas. Tujuannya adalah untuk bertanya kalau saya boleh ambil inspirasi daripada style video ciptaannya dan dia balas ‘yes you may'.

“Kemudian saya hantar video tersebut kepadanya dan menerima respon yang positif. Dia menggelarkan video saya sebagai video terbaik yang pernah dilihat setelah sekian lama dan kami pun bertukar nombor telefon,” ujar Adam lagi.

Malah, Adam juga bercita-cita untuk menjadi seorang pencipta kandungan bertaraf dunia yang dapat mewakili Malaysia untuk memberi pengaruh yang baik kepada dunia.

“Saya nak semua orang tahu mengenai Malaysia. Daripada hospitaliti, orang yang peramah dan pelbagai tarikan yang cantik kepada dunia,” jelasnya lagi.