Gaya Hidup
Youtuber Terkenal Ini Disaman Syarikat Penerbangan Gara-Gara Muat Naik Gambar Menu Makanan
Seorang Youtuber terkenal Indonesia, Rius Vernandes menimbulkan kemarahan syarikat penerbangan rasmi Indonesia, Garuda Indonesia hanya kerana mempamerkan gambar menu mereka.
Insiden berlaku sewaktu dia sedang menaiki penerbangan kelas perniagaan penerbangan itu dari Sydney, Australia ke Denpasar, Indonesia untuk tujuan review.
Dia kemudiannya memuat naik satu video menu makanan yang ditulis menggunakan tulisan tangan di Instagram beserta kapsyen yang berbunyi “Menu tersebut masih lagi dalam proses dicetak.”
Video pendek tersebut tular dan telah menimbulkan reaksi negatif netizen di ruangan komen.
Netizen kemudiannya mengutuk servis Garuda Indonesia yang didakwa sebagai teruk dan tidak patut berlaku.
Susulan daripada itu, Vernandes telah menerima surat dari pihak Garuda Indonesia serta saman daripada pihak polis.
Menerusi laman Instagramnya, dia memaklumkan telah disaman atas tuduhan memfitnah dan menegaskan sama sekali tidak berniat untuk mengutuk mana-mana pihak.
Memetik laporan Mashable SEA, menu tulisan tangan tersebut adalah bukan untuk diberikan kepada penumpang tapi ia sebenarnya untuk kegunaan peribadi anggota kru kabin yang bertugas.
Susulan dari kes tersebut, pihak Garuda Indonesia telah mengetatkan lagi kawalan di dalam kapal terbang.
Antaranya, penumpang tidak lagi dibenarkan mengambil gambar dan video sewaktu penerbangan.
Vernandes sehingga kini mengumpul hampir 530,000 pengikut di Youtube dan lebih 200,000 orang di Instagram.
Sumber: Mashable SEA