YouTubers popular, Zukiee, Alieff Irfan, Kokom, Nasz Kenyang dan Inderawasih menggamatkan lagi webseries PUBG ALLSTARS yang bersiaran di laman YouTube.

Episod perdana PUBG ALLSTARS yang dilancarkan Jumaat lalu di saluran YouTube rasmi TODAK TV, meraih jumlah tontonan hampir 100,000 penonton dalam tempoh kurang 48 jam.

Tanpa publisiti meluas mahupun pembabitan pelakon profesional, pencapaian ini amat membanggakan, kerana PUBG ALLSTARS merupakan drama webseries juga ‘original series’ terbitan TODAK TV yang mengketengahkan genre ‘gaming’ di dalam kehidupan realiti.

Produser PUBG ALLSTARS, Mohd Ikmal Fareeq berkata, pihaknya berasa terharu dengan sambutan yang diberikan peminat PUBG dan pengguna YouTube.


“Saya percaya sambutan hangat episod pertama PUBG ALLSTARS, sokongan datang dari kelompok penggemar sukan elektronik (E-Sukan) PUBG, pangguna YouTube termasuk pengikut serta peminat tegar Youtuber terkenal yang merupakan bintang utama juga penggerak jalan cerita ini.

“Mungkin juga ramai yang berminat menonton PUBG ALLSTARS ini kerana genre seumpama ini belum pernah disaksikan dalam mana-mana drama atau filem. Ia merupakan idea asal yang dibangunkan pihak TODAK TV sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, webseries yang ditayangkan setiap Jumaat, jam 9 malam itu masih berbaki empat episod dan pihak berharap sambutan untuk episod seterusnya akan mengalami peningkatan jumlah tontonan yang lebih besar.

Selain Zukiee, Alieff Irfan, Kokom, Nasz Kenyang dan Inderawasih, pasukan MTAS, Rosenicotine dan ramai lagi turut memeriahkan webseries ini.