Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, berkongsi kedukaan apabila sepupu kesayangannya meninggal dunia akibat Covid-19.

Yuna yang berkongsi berita duka tersebut menerusi hantaran di Instagram (IG) dan IG Story berkata, sepupunya, Allahyarham Amilya Sayla Aminoddin merupakan individu paling rapat dan dianggap seperti adik.

“Hati saya seperti dikoyak-koyak. Saya sayang awak. Berehatlah Amilya, awak tinggalkan kami dengan kenangan-kenangan manis.

“Awak selalu buat kami ketawa. Kami bersyukur kerana Allah telah pinjamkan awak kepada kami.

“Saya tak pernah sangka akan kehilangan awak disebabkan pandemik ini. Saya masih tak percaya, hati saya hancur. Saya telah kehilangan sebahagian daripada diri saya.

“Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Amilya Saila Binti Aminoddin,” katanya.

Menerusi hantaran di IG Story pula, Yana mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang kerana Covid-19 ini. Ia ibarat mimpi ngeri kerana kita tidak dibenarkan untuk ‘mengucapkan selamat tinggal’ pun kepada mereka.

“Itulah rasa yang paling perit buat kita,” katanya.

Dalam pada itu Yuna berpesan kepada orang ramai agar menjaga diri dan mendapatkan suntikan vaksin kerana hospital kini berdepan dengan kebanjiran pesakit Covid-19.

“Kepada anda semua, jagalah diri baik-baik…Dapatkan vaksin. Duduk di rumah. Hospital kita semakin padat dan sesak, jangan biarkan keadaan ini berterusan. Jangan tambah pesakit lagi,” katanya.