Hiburan
Yuna Terkejut Tercalon Dalam Anugerah Oscar 2017
Penyanyi dan penulis lagu, Yuna akui terkejut apabila diberitahu namanya tercalon dalam kategori Lagu Asal Terbaik untuk Anugerah Oscar 2017.
Yuna atau Yunalis Zarai yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu berkata ia satu penghargaan buat dirinya yang selama ini bekerja keras dalam karier seninya.
“Saya terkejut kerana selama bekerja dalam bidang muzik, tidak pernah mengharapkan apa-apa atau buat sesuatu untuk menang dan sebagainya.
"Saya bekerja keras dalam bidang muzik dan mengembara ke luar ni pun hanya untuk berkarya dan berkongsi muzik saya bersama dunia.
"Namun bila ada pihak yang sedar atas apa yang kita lakukan selama ini ia adalah penghargaan besar buat saya.
"Ia amat mengagumkan dan saya harap ia akan memberi motivasi kepada saya untuk bekerja lebih keras lagi selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.
Yuna ditemui selepas dia menerima Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik yang ke-22 (AIM 22) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad.
Judul lagu yang tercalon dalam anugerah Oscar itu ialah On Ghost Ridge hasil ciptaan Emmy dan Nicholas Pike. Lagu tersebut merupakan sebuah lagu tema filem membela hak orang asli 100 years: One Woman’s Fight for Justice.
Sementara itu, mengulas mengenai Anugerah Kembara yang diterima, Yuna memberitahu amat terharu apabila hasil titik peluhnya selama ini mengharumkan nama Malalysia ke negara luar telah dihargai.
"Saya rasa amat gembira dan dalam masa terkejut kerana hasil kerja keras saya selama ini rupanya disedari dan dihargai dengan penganugerahan sebegini.
"Namun saya perlu akui anugerah ini saya patut kongsikan bersama pemuzik Malaysia terutama generasi baru bahawa kita semua boleh pergi jauh dan kembara bukan saya sahaja.
"Harap ia memberi inspirasi kepada orang lain bukan sahaja pemuzik malah generasi muda untuk berani mengembara dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya lagi.
Teks oleh: Syafiqah Jalal