Penyanyi yang sedang mencipta nama di Indonesia, Yura Yunita mengintai peluang untuk
melebarkan sayap muziknya di Malaysia.

Hadir mempromosikan album keduanya yang berjudul Merakit, Yura diberi peluang
untuk menjadi artis pembuka panggung untuk konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour
yang berlangsung pada Sabtu lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

"Sudah seminggu saya berada di Malaysia untuk mempromosikan album Merakit. Saya sangat
senang dengan penerimaan pihak media dan peminat di Malaysia. Saya mahu kedatangan saya
menjadi pembuka jalan untuk melebarkan sayap kerjaya di Malaysia.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat peluang keemasan menyanyi di segmen pembukaan
untuk konsert Siti. Siti merupakan idola saya dalam bidang muzik dan peluang terbabit
saya gunakan sebagai salam perkenalan kepada peminat muzik Malaysia.

"Sejujurnya, saya kagum dengan Siti kerana dia bukan sahaja berjaya dalam lapangan
muzik yang diceburinya, Siti juga merupakan seorang penyanyi yang mempunyai personaliti
menyenangkan," kata Yura yang ditemui di sidang media promosi album keduanya di
Malaysia pada Jumaat lalu di Alila Bangsar.

Tambah Yura, dia juga sering mendapat mesej kiriman peminat Malaysia di laman Instagram
miliknya.

"Saban hari, saya sering mendapat Direct Message (DM) peminat Malaysia yang meminati
muzik saya. Ada juga bertanya, bila saya datang ke Malaysia.

"Saya berharap kunjungan saya kali ini membuka banyak lagi jalan dan peluang untuk
terus berkarya di Malaysia," katanya yang popular menerusi lagu Buka Hati.