HIBURAN

“Yuran Anak Saya Ke Amerika Syarikat Siapa Nak Bayar?” - Aaron Aziz Tuntut Hutang RM65,000 daripada Agensi Haji & Umrah

Asyikin Mayudin 19/07/2025 | 23:55 MYT
Pelakon, Datuk Aaron Aziz menuntut hutang berjumlah RM65,000 daripada sebuah agensi pengurusan haji dan umrah.

Menerusi TikTok, Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, mendakwa pihak tersebut cuba mengelak berjumpa dengannya dan tidak menjawab panggilan telefon serta membalas mesej yang dikirim.

“Kepada Persada Global Holidays, hutang saya sebanyak RM65,000 masih belum selesai lagi. Saya dah telefon tapi tak berjawab, mesej tak dibalas. Pihak awak menghilangkan diri.

“Tolong selesaikan hutang saya secepat yang mungkin. Berjumpa dengan saya dan jangan hilang,” kata pelakon berusia 49 tahun itu.

Berkongsi lanjut, pelakon filem The Experts itu memberitahu agensi berkenaan telah melanggar syarat yang termaktub dalam satu surat perjanjian yang ditandatangi sebelum ini.

Tegas Aaron, dia juga akan melantik peguam bagi menguruskan isu tersebut.

“Yuran anak saya ke Amerika Syarikat siapa nak bayar? Nantikan surat peguam daripada pihak saya.

“Kontrak dah tanda tangan untuk membuat bayaran secara ansuran tapi tidak amanahkan pembayaran,” ujarnya.

Terdahulu, Aaron memaklumkan telah mendahulukan wang miliknya berjumlah RM90,000 susulan isu sekumpulan jemaah umrah terkandas akibat kesilapan yang dilakukan oleh agensi terbabit.

undefined
#Aaron Aziz #Haji #Hutang #Agensi Umrah