Penerbit filem Datuk Yusof Haslam dan Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez antara 12 individu yang dilantik menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu tujuh individu lagi dilantik sebagai penasihat agensi anti-rasuah ituserta lima yang lain menyertai Panel Penilaian Operasi (PPO) .

“Semua 24 ahli yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM,” kata agensi anti-rasuah itu menerusi sebuah kenyataan.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dipengerusikan bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang dan dianggotai bekas ketua polis negara, Ismail Omar, bekas pengerusi Bernama, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee serta Mohammad Agus Yusoff.

Katanya, ahli LPPR dilantik Yang di-Pertuan Agong mulai 21 Mei lalu sehingga 20 Mei 2023 atas nasihat perdana menteri mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009.

PPPR pula dipengerusikan bekas ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah dengan antara ahli panelnya ialah ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, penerbit filem, Md Yusof Md Aslam yang lebih dikenali sebagai Yusof Haslam, Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya serta Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez.

SPRM berkata, tempoh pelantikan PPPR berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2022.

PPO pula dipengerusikan bekas timbalan ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Ahmad Rosli Mohd Sham yang turut dianggotai bekas setiausaha kerajaan Kelantan, Mohd Faudzi Che Mamat dan bekas timbalan ketua pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam, Azimah Abdul Hamid.