Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Yusof Haslam Masih Anggap Puteri Sarah Menantu - "Jika Ditakdirkan Bersatu Semula..."

Syafiqah Jalal 14/06/2023 | 22:06 MYT
Penerbit Datuk Yusof Haslam reda menerima ketentuan bahawa jodoh anaknya, Syamsul Yusof dan bekas menantu, Puteri Sarah Liyana tidak panjang dan berakhir dengan baik.
Bagaimanapun, Yusof berkata kepada BH Online dia tidak menolak sekiranya pasangan itu dapat bersatu kembali.
"Jika ditakdirkan bersatu semula, terserah... Hanya Allah yang tentukan," katanya.
BACA: Syamsul Yusof & Puteri Sarah Akhirnya Sah Bercerai Talak Satu​
BACA: Puteri Sarah Reda Dah Bercerai - "Harap Tiada Lagi Persengketaan..."
BACA: Tidak Berdendam, Syamsul Pesan Pada Sarah - "Jangan Ingat Ini Pengakhiran Segalanya"
BACA: Kes Ira Kazar Digugurkan? Ini Jawapan Puteri Sarah
Pun begitu, bapa kepada pengarah sensasi itu berharap Syamsul bertanggungjawab terhadap anak-anaknya, Syaikhul, 6, dan Summayah, 4.
"Apa yang berlaku tidak boleh komen lagi, cuma saya lega kerana mereka berpisah dengan cara baik demi anak-anak.
"Bagaimanapun, saya harap Syamsul bertanggungjawab pada anak-anaknya dan mereka tidak menaruh sebarang dendam.
"Saya berharap mereka dapat membersihkan hati dan jiwa dalam melayari kehidupan masing-masing.
"Hidup perlu diteruskan, jangan menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya, carilah kebahagiaan masing-masing," katanya.
Tambah Yusof, biarpun Syamsul dan Puteri Sarah sudah bercerai secara rasmi dengan talak satu, namun dia dan isterinya, Datin Patimah Ismail masih menganggap Puteri Sarah sebagai menantu.
"Puteri Sarah tetap kami anggap seperti menantu, malah hubungan dengan bekas besan juga tidak akan terputus.
"Ini kerana anak Syamsul dan Puteri Sarah adalah cucu-cucu kami," katanya.
Sementara itu, Yusof berkata, dia hanya mengetahui perceraian anak dan menantu, petang tadi kerana terlalu sibuk dengan pelbagai urusan hingga tidak sempat membelek telefon bimbit.
Ditanya perasaan isterinya, Yusof berkata, Patimah sedih sehingga menitiskan air mata sejurus mendapat berita perceraian itu.
"Sebagai ibu pastinya isteri menitiskan air apabila Puteri Sarah menghubunginya.
"Namun, isteri minta saya reda walaupun pedih hingga ke jantung hati.
"Kami tetap mendoakan kebahagiaan buat Syamsul dan Puteri Sarah," katanya.
Ditanya lagi adakah dia dan isteri bersedia bertemu dengan isteri baru Syamsul iaitu Ira Kazar, Yusof memilih tidak mengulas mengenainya.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah berakhir apabila mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, tengah hari ini.
Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.23 tengahari di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Akmallluddin kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu yang berjumlah dua kali yang mana kali pertama berlaku pada 9 Mei 2015, namun pasangan itu kembali rujuk pada hari sama.
Puteri Sarah diarah menjalani tempoh edah selama tiga kali suci dan mendaftarkan perceraian mereka.
Sumber: Berita Harian
#Kahwin #cerai #Puteri Sarah #Yusof Haslam #Menantu
;