Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Gaya Hidup

Yusry KRU Sebak Cerita Saat Sambut Kelahiran Yahaira

Ahmad Shah 20/04/2016 | 08:45 MYT
Pengarah dan penerbit Yusry KRU sebak ketika menceritakan saat menyambut kelahiran puteri sulungnya, Yahaira Leanne pada September tahun lalu.

Yusry atau nama sebenarnya Yusry Abdul Halim, berkata, dia tidak dapat mengambarkan perasaan sebenar saat bergelar seorang bapa.

“Pertama kali menyambut kelahiran Yahaira di depan mata, saya merasakan betapa kerdilnya kita di dunia ini. Terus saya sedar betapa kita sangat bermakna buat ibu bapa kita dan sebaliknya.

“Selepas saya azankan Yahaira, saya terus bawa dia masuk bilik dan ketika itu saya dapat rasa bagaimana penat menjalani proses bersalin sebenarnya.

"Selepas itu saya cuba juga lelapkan mata untuk tidur, tetapi tidak boleh sebab terlalu gembira dengan kelahiran Yahaira,” kata Yusry menerusi episod empat program Ebu Babypedia.

Menurut Yusry lagi, dia sukar berpisah dengan Yahaira sejak hari pertama anaknya itu dilahirkan.

“Teringat pengalaman bagaimana saya tergesa-gesa mahu pulang ke hospital semula kerana tidak mahu berenggang dengan Yahaira. Sedangkan saya perlu tanam uri Yahaira di belakang kawasan rumah. Tetapi saya tunaikan tanggungjawab tersebut dengan sempurna terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lisa Surihani turut berkongsi pengalaman saat pertama kali melihat wajah anak perempuannya Yahaira Leanne.

“Pertama kali melihat wajah Yahaira, seakan tidak percaya ianya keluar sebagai zuriat saya. Dengan kulit putih, pipi merah jambu dan dia menangis. Masa tu saya banyak ingat Allah SWT dan merasakan kurniaan tuhan sangat luarbiasa,” kata Lisa dengan linangan air mata.

Episod empat Ebu Babypedia menampilkan tips menarik mengenai Perubatan Holistik, Hypnobirthing, Water Birth dan pengurusan uri cara moden.

Nak tahu lebih lanjut apa yang menarik dalam episod empat program Ebu Babypedia, jangan lupa untuk menonton setiap hari Rabu, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Layari media sosial menerusi akaun Facebook, MyeBu dan Instagram @my.eBu atau latari www.eBu.com.my untuk info lanjut!

#Lisa Surihani #Ebu #Yusry
;