Pelakon Zahiril Adzim meluahkan rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada dalam filem aksi yang diangkat daripada sejarah Malaysia, Bakara.

Menurut Zahiril, dia membawa watak sebagai Leftenan Dahari yang terlibat di dalam misi pertempuran di Somalia pada tahun 1993.

Malah, seluruh kru pembikinan filem kini berada di negara Turki bagi penggambaran filem terbabit.

“Hari pertama berada di Turki untuk membikin filem Bakara sebagai Leftenan Dahari.

“Berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada team yang mengangkat sebuah kisah daripada sejarah tentera Malaysia di mana terjadinya peristiwa dan pertempuran yang menggerunkan di Somalia pada tahun 1993,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam pada itu, Zahiril atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 38, memuat naik sekeping foto ketika sesi penggambaran untuk tatapan umum.

Tambahnya lagi, kini tiba giliran tanahair tercinta kita untuk menceritakan sejarah sebenar terbabit tentera-tentera Malaysia yang sangat berani dan berjaya membantu askar Amerika Syarikat (AS) pada waktu itu.

“Peristiwa ini telah difilemkan dalam filem Black Hawk Down di mana tentera AS terperangkap di tengah pasar Bakara, Somalia.

“Tentera AS habis peluru, ramai dah terkorban dan mereka seperti sudah tiada harapan untuk keluar daripada situ.

“Akhirnya mereka diselamatkan oleh tentera United Nation (UN). Siapakah yang ada dalam tentera UN waktu itu?

“Mereka adalah tentera Malaysia yang sangat berani, Malbatt (Malaysian Battalion). Malbattlah yang berjaya membawa keluar askar AS ketika itu.

“Tapi dalam filem Black Hawk Down, nama Malaysia hanya disebut sekali dalam satu babak,” ulasnya lagi.

A post shared by Zahiril Adzim (@zahiriladzim)


Sementara itu di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti menitipkan ucapan maju jaya buat suami kepada pelakon Shera Aiyob ini dan seluruh pasukan produksi dalam menjayakan filem tersebut.

“All the best,” tulis Siti Saleha.

“Sukses bro,” komen Pekin Ibrahim.

“All the best bob dan team Bakara. Tak mintak banyak pun, nak meremang bulu tengkuk je bila tengok kat wayang nanti,” usik Nadiya Nissa.

“Mantap tuan!” ujar Syazwan Zulkifly lagi.