Laman Utama
Zamani Mengaku Terjebak Dengan Dadah Sejak Sekolah! – “Kalau Ibu Masih Ada, Saya Nak Cium Kaki Nak Minta Maaf Sebab Memalukan Keluarga…”
Vokalis kumpulan Slam, Zamani membuat pendedahan berani apabila mengaku terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak di bangku sekolah.
Pengakuan tersebut dibuat Zamani secara ekslusif menerusi program sketsa dan bual bicara komedi, Rumah No. 107 Musim Kedua yang bersiaran pada Jumaat lalu.
Zamani berkata, terjebak dengan najis dadah adalah satu kesilapan terbesar yang dilakukan dalam hidupnya.
Katanya lagi, andai waktu boleh diputar dia mahu memohon maaf kepada ibunya kerana telah memalukan nama keluarga dan mahu mencium tapak kaki wanita yang disanjungi itu.
“Saya terus-terang cakap…Saya terjerumus dengan dadah sejak di bangku sekolah. Semua dadah daripada yang kurang kuat sampailah yang paling kuat semua saya dah...
“Andai dapat diputarkan waktu, kalau arwah ibu saya masih hidup...saya mahu memohon maaf, mohon ampun kepada dia kerana telah memalukan nama keluarga. Saya nak cium tapak kaki dia.
"Kalau dia masih ada, saya malu dengan dia, saya rosakkan diri saya sendiri. Keluarga saya orang baik-baik. Mak bapak saya tak ajar saya jadi macam ni.
"Mereka dah didik saya dengan baik tetapi saya yang tersasar. Saya tidak pernah menyalahkan kawan-kawan atau orang lain sebab memang kehendak saya,” katanya.
Selain itu Zamani turut berkongsi mengenai penyakit tulang belakang dihadapinya yang juga berpunca daripada dadah.
Selain Zamani, turut diundang sebagai tetamu istimewa Rumah No. 107 ialah Ameng, Spring yang terbuka berkongsi mengenai kisah silamnya secara ekslusif.
Berbeza dengan Zamani, Ameng berkata dia mula terjebak dengan najis dadah selepas bergelar artis dan mengakui ‘culture shock’.
“Ketika mula-mula jadi artis saya mengaku ‘culture shock’ dengan kehidupan baru saya. Maklumlah ada duit sendiri, kawan-kawan ramai.
“Saya banyak habiskan masa di kelab-kelab malam. Tetapi, saya bersyukur kerana ditangkap dan dipenjarakan selama lapan tahun dengan 10 sebatan atas tuduhan memiliki barang terlarang.
“Kalau saya tak masuk penjara, mungkin sampai sekarang pun saya tak sedar dan mungkin tidak berubah.
“Lapan tahun dalam penjara, saya isi kehidupan saya dengan perkara-perkara yang telah lama saya tinggalkan sebelum itu.
“Sikit pun saya tak sangka isteri saya setia dan sabar menunggu saya. Saya ingat lagi ketika dijatuhkan hukuman saya tak sanggup nak pandang wajah isteri. Malah saya tak pandang pun muka anak saya.
“Saya rasa nak buang semua! Saya berasakan seperti dunia saya sudah gelap. Tetapi syukur Alhamdulillah, Allah SWT ada hikmah di sebalik dugaan,” katanya.
Dalam pada itu Zamani dan Ameng berkata, perkongsian mereka adalah untuk dijadikan pedoman dan pengajaran kepada orang ramai.
Rumah No. 107 musim kedua masih lagi mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air, Khir Rahman.
Khir turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular negara, Joey Daud, Ropie, Shuk Sahar dan anak seni kelahiran Indonesia, Vicha.
Rumah No. 107 musim ini bersiaran sebanyak lapan episod dengan durasi 90 minit menampilkan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan.
Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato Aznil Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan Rumah No. 107 setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.
Selain itu, untuk pilihan yang lebih fleksibel anda juga boleh strim program ini secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.
Must-Watch Video