Laman Utama
“Zara Boleh Mereput! Angkat Tangan Jika Anda Bersama Saya!” – Faizal Tahir Berang Komen Anti Palestin Ketua Pereka Fesyen Zara
Penyanyi dan komposer Faizal Tahir telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan kontroversi berbentuk retorik anti-Palestin oleh Vanessa Perilman, Ketua Pereka Fesyen (wanita) label terkemuka, Zara.
Hantaran Faizal Tahir di Instagram (IG) menggambarkan kekesalannya terhadap Perilman dan menyokong desakan orang ramai yang menuntut permohonan maaf daripada label fesyen tersebut.
“Zara can rot! Raise your hand if you’re with me (Zara boleh mereput! Angkat tangan jika anda bersama saya)”, katanya.
Terdahulu, Perilmen menjadi sasaran kemarahan selepas menulis komen kontroversi di dalam mesej balasan terhadap entri pro-Palestin yang dimuat naik seorang model.
"Mungkin jika bangsa anda terdidik dengan baik, mereka tidak akan meletupkan hospital dan sekolah yang dibiayai Israel di Gaza," kata Perilman dalam komen kepada Qaher Harhash, seorang model berketurunan Palestin.
"Orang Israel tidak mengajar kanak-kanak untuk membenci atau melempar batu ke arah tentera seperti yang dilakukan orang Palestin.
"Mereka dalam industri fesyen tahu kebenaran tentang Israel dan Palestin dan saya tidak akan berhenti membela Israel.
"Orang seperti anda akan datang dan pergi akhirnya," komen Perilman.
Perilman bagaimanapun telah memadam akaun Instagramnya dan laman media sosial yang lain selepas kenyataannya itu menjadi tular.
Susulan itu warganet mengemukakan aduan rasmi kepada Zara namun label tersebut belum mengambil tindakan.
Mereka sebaliknya membuat membuat kenyataan bahawa Perilman sudah "meminta maaf" dan ia diterima oleh Harhash.