Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Zara Zya Bantu Rider – “Mereka Juga Frontliners, Sentiasa Terdedah Risiko…”

Fiza Kamarudin
01/07/2021 00:15 MYT
Pelakon Zara Zya melakukan kerja kebajikan dengan membantu menyuntik semangat kepada ‘rider’ atau penghantar makanan.

Zara berkata, dia merancang untuk menyediakan pek bungkusan istimewa kepada golongan berkenaan.

Bagaimanapun kata Zara, dia memerlukan sejumlah dana bagi merealisasikan niat tersebut.

"Kalau ikut kemampuan diri saya boleh sediakan pek makanan, minuman beserta pelitup muka dan sanitasi tangan, namun terbatas untuk bantuan skop kecil.

"Namun saya berasakan lebih baik niat baik ini dilakukan bersama mereka yang sama sama sudi menyumbang. Lagi ramai yang beri sumbangan, insya-Allah lagi luas skala bantuan ini boleh dianjurkan," katanya.

Zara kini aktif dengan kerja-kerja kebajikan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan.

Menurut Zara, golongan penghantar makanan juga merupakan ‘frontliners’ kerana mereka sentiasa terdedah dengan risiko.

“Setiap hari mereka berdepan risiko, demi pelanggan. Jadi saya rasa mahu menyumbang sesuatu untuk mereka.

“Tak kiralah kecil atau besar bantuan itu, yang penting dapat membuatkan mereka tersenyum dan terus bersemangat.

“Saya pernah bertanya sendiri kepada ‘riders’ ini apa bantuan yang mereka perlu. Kata mereka, buat masa ini pelitup muka dan sanitasi tangan antara yang terpenting.

“Kadang-kadang mereka ini nak makan pun tak sempat. Jadi saya mula terfikir apa salahnya jika saya penuhi keperluan tersebut,” katanya.

Tambah Zara, untuk fasa pertama dia merancang meletakkan pek sumbangan itu di beberapa lokasi stesen minyak di Setia Alam.

"Saya mensasarkan untuk meletakkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan di setiap stesen minyak.

"Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan," katanya

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan ke Instagram @malaysia.prihatin atau terus ke akaun 8010356849 CIMB Bank di bawah nama Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan atau WhatsApp ke talian 017-8218385.

#Zara Zya #CSR #Prihatin Tanpa Sempadan #Tolong Rider
;