Selepas membuat keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pramugara, penyanyi Zarul Umbrella, 44, sudah mula sibuk dengan drama terbaru lakonannya, Cik Serba Tahu.

Menerusi sebuah entri di laman sosial Facebook(FB)nya, Zarul telah memuat naik foto sebuah buku yang tertera nama produksi ‘Orange Tree Production’ dan ia merupakan skrip episod kelima drama bersiri Cik Serba Tahu.

Zarul juga telah menulis kapsyen; “Selamat Pagi, hari ni hari mentelaah skrip ..sekian terima kasih,” pada jam 11 pagi tadi.

Menerusi drama 16 episod yang bakal ditayangkan di Astro Ria itu, Zarul memegang watak sebagai sepupu kepada Remy Ishak dan konflik mula timbul apabila watak heroin memainkan peranan mereka.

Selain Zarul dan Remy, Cik Serba Tahu turut dibintangi oleh Adi Putra dan Sari Yanti.

Drama adaptasi novel karya Shamnuriezmil itu juga dijadualkan menjalani penggambaran bermula bulan ini (Januari) sehingga Februari depan.