Zarul Umbrella Pernah Jual Apam Balik Lepas Berhenti Nyanyi, Tak Terfikir Jadi Pramugara

ZULHILMI JALIL
Mei 8, 2020 04:23 MYT

Penyanyi Zarul Husin mendedahkan bahawa dia tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang pramugara selepas berhenti menyanyi sebagai vokalis kumpulan Umbrella.

Sebaliknya, kongsi Zarul, kerjayanya sebagai pramugara itu banyak didorong oleh bapanya yang mahu melihatnya mempunyai kerja yang lebih menjamin masa depannya.
"Dulu tidak pernah terfikir langsung pun nak jadi pramugara. Selepas saya berhenti menyanyi dengan Umbrella tahun 1997, saya jual apam balik dengan arwah abah saya dekat satu simpang di Puchong.
"Arwah yang galakkan saya pergi interviu, ye lah bapa mana yang tak risau tengok anak dia tak ada kerja tetap," katanya menerusi satu posting di Instagram.
Dalam posting tersebut, Zarul turut berkongsi sekeping foto kenangan ketika dirinya berkhidmat sebagai kru kabin bagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Pelantun lagu Ramalanku Benar Belaka itu berkata, bapanya itu yang bersungguh-sungguh mahu melihatnya bekerja di awan biru.
"Siap bawa saya potong rambut saya yang panjang paras bahu masa tu demi temu duga pramugara. Alhamdulillah, rezeki anak saya.
"Sedikit tips interviu daripada pelanggan bapa saya yang merupakan pramugara dan pramugari MH masa tu. @malaysiaairlines terima saya jadi kakitangan mereka sebagai pramugara," katanya.
Bagaimanapun, selepas 16 tahun berkhidmat, Zarul kemudian membuat keputusan berhenti pada 2016 sebelum memberikan fokus semula dalam dunia seni.
BACA: Selepas Berhenti Pramugara, Zarul Umbrella Semakin Sibuk
Dalam pada itu, jangan lupa saksikan drama lakonan Zarul di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Zarul #Pramugara #Umbrella