Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Zawfan Mirip Kumpulan Nasyid Raihan?

Amri Hassan
18/02/2023 06:55 MYT
Lahir dari kerinduan mereka pada lagu-lagu dakwah yang hanya dihasilkan menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan, Zawfan terus menapak.



Ditubuhkan pada 2020, Zawfan dianggotai oleh tiga anak muda Yasir Tamizi, Fadzli Radzi dan Hafiz Tamizi, yang juga bekas vokalis utama kumpulan nasyid Mirwana.

Membesar dengan irama lagu-lagu nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi mereka nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat.

Bagi Zawfan, lagu-lagu nasyid ketika era itu tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana, suara latar berharmoni, namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan sangat mengesankan masyarakat.

Komuniti Perindu Nasyid

Pada awal 2020, Zawfan mula mengorak langkah pertama di media sosial bergerak dengan tanda pagar #RinduNasyid dengan merakamkan semula video-video nasyid nostalgia secara acapella atau iringan perkusi.

Zawfan berjaya menghimpunkan perindu-perindu nasyid di media sosial mereka dan saling bernostalgia, bersembang dan bertukar-tukar buah fikiran.

Komuniti perindu nasyid bersama-sama menginginkan irama nasyid yang ringkas dan sederhana, vokal harmoni dan kompang pergendangan seperti era 90-an itu untuk kembali semula dihasilkan.

Rasul Kita

Pertengahan tahun 2021, single pertama Zawfan bertajuk "Rasul Kita" telah dilancarkan.

Mesejnya sangat tepat dengan keadaan semasa di mana masyarakat sedang dilambakkan dengan adiwira- adiwira cereka dari Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Universe (DCU).

Sambil berhibur dan terpesona dengan karya fiksyen begitu, bagi masyarakat Islam perlu ada peringatan bahawa adiwira-adiwira sebenar ialah para nabi dan rasul kita yang disebut namanama mereka di dalam kitab Al-Quran yang didatangkan hadir dalam kalangan manusia pada zaman dan waktu tertentu memberi peringatan, menyelamatkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari kejahilan kepada kebijaksanaan, dari kepalsuan kepada kebenaran.

"Rasul Kita adalah merupakan sebuah lagu nasyid asuhan yang ditujukan kepada anak-anak.

"Liriknya mengingatkan nama-nama nabi dan rasul serta mengajak agar sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran, iktibar dan teladan dari kisahnya.

"Inspirasinya memang dari lagu “25 Rasul” dendangan Raihan," kata mereka.

Rasul Kita adalah ciptaan Hafiz Tamizi, diterbitkan oleh ZAWFAN dan diedarkan secara digital oleh Inteam Records. Kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIMFM, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain.


#Penyanyi #Viral #Raihan #Nasyid #Rasul Kita #Zawfan
;