HIBURAN

Zehra Dakwa Suami Culas Bayar Nafkah Anak - “Memanglah Anak Di Bawah Saya, Tapi Nak Juga Dia Bertanggungjawab”

Mya Amri 13/08/2025 | 02:25 MYT
Penyanyi Zehra Zambri, 38, mendakwa suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, gagal memberikan nafkah sepanjang hampir empat tahun perkahwinan mereka.

Menurut Zehra, tanggungjawab kewangan terhadap anak digalas penuh oleh dirinya meskipun sebagai seorang bapa, suaminya sepatutnya memainkan peranan yang sama.

“Memanglah anak di bawah tanggunggan saya, tapi saya nak juga dia bertanggungjawab walaupun Allah bagi sedikit rezeki dekat saya untuk tanggung anak.

“Tapi saya nak juga dia sedikit bertanggungjawab. Selepas daripada insiden haritu memang dia langsung diam sediam diamnya,” jelasnya.

Zehra berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat, pada Rabu.

Malah kata Zehra, suaminya harus mempunyai rasa tanggungjawab terhadap anak dan bukan bersikap lepas tangan.

Jelas Zehra lagi, disebabkan keadaan yang semakin mendesak memaksanya tampil ke hadapan bagi menuntut hak yang sewajarnya, demi kelangsungan hidup anak.

“Nafkah anak pun tiada. Sebenarnya dalam tempoh perkahwinan pun banyak yang saya ‘provide’, saya tak minta tuntut nafkah saya pun.

“Tapi bila dah sampai tahap macam ni saya perlulah ke depan untuk minta hak saya yang sepatutnya, melihat pada kemampuannya.

“Cubalah yang mana boleh tapi saya tahulah benda ini agak berat jadi kita perlukan campur tangan perundangan supaya nasib kami, isteri terbela,” ujarnya.

Terdahulu, Zehra yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi ditemani bapanya Zambri Ahmad, tetap dengan pendirian enggan menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakannya dalam permohonan perceraian.

Antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.

Manakala, Iqwan pula tiba di mahkamah pada jam 9:20 pagi.

Iqwan sebelum ini hanya bersetuju dengan satu tuntutan iaitu tiada persefahaman justeru enggan menceraikan isterinya.

Dalam pada itu, Zehra berharap proses Hakam Islah pada hari ini akan berjalan lancar.

Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara 'fast track' ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka, namun menemui jalan buntu.

Mahkamah kemudian memutuskan agar pasangan terbabit melantik wakil bagi menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) disusuli lantikan hakam selepas tiada lagi jalan penyelesaisn

Zehra dan Nur qwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela.
#Anak #Nafkah Anak #Zehra Zambri