HIBURAN

Zehra Zambri Dakwa Suami Abaikan Nafkah - “Dahulukan Duit Saya Baru ‘Claim’, Ibarat Perlu Mengemis…”

Mya Amri 14/07/2025 | 04:55 MYT
Penyanyi, Zehra Zambri mendakwa bahawa dia terpaksa menagih bantuan kewangan daripada suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin untuk kebajikan anak mereka, Zahiyah Iqleela.

Malah dedah Zehra, 38c dia terpaksa menggunakan duitnya sendiri terlebih dahulu bagi membeli barangan keperluan anak sebelum meminta suaminya membayar semula.

“Bercakap soal kebajikan anak, ada ketika hampir sebulan lebih dia tidak menjenguk anak.

“Kalau bab keperluan seperti susu, lampin saya yang perlu dahulukan duit saya kemudian baru saya ‘claim’ dengan dia.

“Namun susah juga, ibarat perlu mengemis terlebih dahulu,” ujarnya.

Zehra berkata demikian ketika ditemui selepas selesai
prosiding mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Hulu Langat, Bangi, pada Isnin.

Bagaimanapun kata Zehra, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana mahu kes perceraian diselesaikan terlebih dahulu.

“Tentang kebajikan anak saya enggan fikir dahulu sebab yang paling utama mahu selesaikan kes perceraian kami dahulu.

“Anak saya baru-baru ini dimasukkan ke wad sebab ada kahak dalam paru-paru, itu pun saya yang uruskan sendiri daripada A sampai Z.

“Anak saya dalam wad daripada 10 Julai sampai 13 Julai, dia datang jaga satu malam sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zehra berkata sebagai seorang ibu, dia tidak boleh menghalang lelaki itu berjumpa dengan anak-anak mereka.

“Saya tidak boleh halang dan benarkan dia datang jaga sebab itu pun anak dia. Namun, urusan lain seperti insurans dan bil hospital semua saya tanggung.

“Dia hanya datang melenggang bawa diri sahaja dan ambil gambar barangkali untuk konten semata,” ujarnya.

Terdahulu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga mereka.

Nur Mohd Iqwan juga pernah berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan oleh Zehra pada 7 Mac lalu terhadapnya.

Antara tuntutan tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Pada 7 Mei, Kes permohonan perceraian penyanyi Zehra Zamri dan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, , yang sepatutnya terlerai hari itu ditangguhkan ke hari ini.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
#cerai #Suami #Nafkah #Abai #Zambri #Zehra