HIBURAN
Zehra Zambri Lega Kes Cerai Capai Kata Sepakat - “Tapi Tak Dapat Selesaikan Hari Ini Kerana Keadaan Saya Tidak Suci”
Penyanyi Zehra Zambri, 38, menarik nafas lega apabila apabila urusan perceraiannya dengan suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, akhirnya mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun kata Zehra, lafaz cerai itu terpaksa ditangguhkan oleh mahkamah hari ini kerana keadaan dirinya yang tidak suci.
"Legalah juga (akan bercerai), sebab dah lama kes ini berlanjutan. Tapi, malangnya hari ini tak dapat diselesaikan juga kerana keadaan saya yang tidak suci.
"Tapi, saya harap sangat yang tarikh 20 Ogos ini adalah tarikh terakhir saya hadir ke mahkamah ini setelah beberapa bulan lamanya (kes cerai berlangsung).
"Dulu memang dia (Iqwan) kata dah sedia nak lafazkan (cerai), tapi dia letak syarat. Tapi untuk kali ini, Alhamdulillah dia kata dia akan lafazkan jugalah.
"Termasuk, menggugurkan mana-mana (tuntutan) sebab perceraian sudah saya failkan," ujarnya.
Zehra berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, tengah hari tadi.
Ditanya mengenai perancangan untuk membuat tuntutan lain seperti nafkah dan hak penjagaan anak atau hadanah, Zehra berkata perkara akan dilakukan kemudian selepas urusan perceraian selesai sepenuhnya.
“Soal tuntutan akan diperjelaskan selepas ini, biar selesaikan kes perceraian terlebih dahulu,” ulasnya ringkas.
Sementara itu, peguam syarie, Abd Muiz Samsuri, berkata kedua pihak mencapai kata sepakat setelah melalui Majlis Tahkim selama dua jam pagi tadi.
“Plaintif serta defendan mengikuti Majlis Tahkim pagi tadi dan alhamdulillah pihak-pihak mencapai persetujuan.
“Pihak defendan juga bersetuju untuk menceraikan dan melafazkan talak pada hari ini.
“Tapi malangnya atas nasihat mahkamah disebabkan plantif tidak suci,kes untuk lafaz itu ditangguhkan ke minggu hadapan iaitu 20 Ogos,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas isu empat daripada lima tuntutan dilakukan anak guamnya yang tidak dipersetujui defendan, Abd Muiz menjelaskan perkara itu juga sudah selesai.
“Tidak ada isu dah selepas hakam selesaikan. Tadi maknanya (penyelesaian) tanpa syaratlah,” katanya.
Ditanya adakah defendan boleh menukar keputusannya, Abd Muiz berkata perkara itu boleh berlaku.
Namun, persetujuan sudah dicapai melalui proses rasmi hakam, justeru dia berharap kedua-dua pihak menghormati keputusan dibuat.
“Itu (berubah fikiran) boleh saja terjadi. Kita harap tak adalah perkara itu berlaku. Sebab hari ini mereka dah melalui proses hakam.
“Jadi saya ingat sepatutnya tidak ada, tidak berlakulah perkara itu,” katanya.
Sebelum ini Iqwan hanya bersetuju dengan satu daripada lima tuntutan iaitu tiada persefahaman sekali gus enggan menceraikan isterinya.
Antara tuntutan dikemukakan pada permohonan cerai Zehra adalah tiada persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara 'fast track' ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka.
Untuk info, Zehra dan Iqwan menjalani Majlis Tahkim untuk menyelesaikan pertikaian permasalahan di atara kedua belah pihak dan ia diselesaikan secara lantikan hakam oleh mahkamah.
Pada 14 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat menetapkan urusan perceraian antara Zehra dan Iqwan akan dibuat menerusi lantikan hakam oleh mahkamah.
Sebelum ini, hasil daripada pembentangan keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) kepada pihak mahkamah juga mendapati ada berlakunya Syiqaq iaitu tiada persefahaman yang berpanjangan antara Zehra selaku plaintif dan Iqwan (defendan).
Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Zehra sebelum ini pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ia hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Begitu juga, Iqwan pernah berkahwin, namun bercerai juga dengan bekas isteri pertamanya dan mereka memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan itu.
Must-Watch Video